top of page

Sidang Khas Parlimen RCI Tabung Haji 11 Ogos ini

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 23 hours ago
  • 1 min read

Sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) akan diadakan pada 11 Ogos ini.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai sidang khas berkenaan.


"11 Ogos, sesi khas Parlimen. Saya dah bincang, speaker pun dah setuju, (bermula) 10 pagi hingga petang," katanya dipetik laporan media.


Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, di Kuala Lumpur pada Khamis.

RCI tersebut ditubuhkan pada 2021 bagi menyiasat aspek pengurusan, operasi dan urusan berkaitan aset TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, susulan kebimbangan terhadap tadbir urus serta kedudukan kewangan institusi tersebut.


Laporan tersebut dinyahklasifikasikan dan didedahkan kepada umum pada Rabu selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri semalam.


Siasatan dilakukan mendapati beberapa keputusan penting institusi itu termasuk berkaitan agihan keuntungan (hibah), penentuan bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) dipengaruhi unsur politik.


Menurut laporan tersebut, penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH antara 2014 hingga 2018 telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat serta membuka ruang kepada campur tangan politik dalam proses membuat keputusan.


Sehubungan itu, RCI mengesyorkan pindaan undang-undang dibuat bagi melarang ahli politik aktif daripada dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH serta anak syarikatnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara (AGC) menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk mendedahkan laporan tersebut kepada umum.


Menerusi satu kenyataan, Jabatan itu memaklumkan akan meneliti secara menyeluruh laporan termasuk mempertimbangkan sama ada wujud pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page