Sidang Kemuncak ASEAN tingkatkan kedudukan Malaysia di pentas dunia
- Suara Keadilan

- Oct 30
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengiktirafan yang diberikan kepada Malaysia dan secara peribadi kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar oleh Amerika Syarikat (AS) dan rakan-rakan global lain membuktikan negara telah kembali muncul sebagai suara yang dihormati dan berprinsip di pentas antarabangsa.
Bagi Pengarah Strategi KEADILAN Johor, Prakash Maniam (gambar), kepimpinan Malaysia yang membanggakan di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 lalu mencerminkan peningkatan kedudukan negara di peringkat global di bawah pimpinan PM Anwar.
Katanya, sepanjang tiga tahun lalu, Kerajaan MADANI telah bekerja tanpa henti untuk mengembalikan keyakinan terhadap tadbir urus dan ekonomi negara selepas bertahun-tahun mengalami ketidakstabilan dan skandal.
''Hasilnya kini jelas kelihatan apabila Malaysia sekali lagi dilihat sebagai sebuah negara yang dipercayai, stabil dan berpandangan jauh, berpaksikan integriti serta keterangkuman.
''Kepimpinan Datuk Seri Anwar amat penting dalam memupuk perpaduan serantau, kerjasama ekonomi, serta pendirian kemanusiaan yang tegas khususnya dalam memperjuangkan keadilan bagi rakyat Gaza.
''Pendekatan diplomasi Malaysia yang seimbang dan berprinsip yang mempertahankan hak asasi manusia sambil mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh menggambarkan kematangan dan kebijaksanaan pentadbiran semasa,'' katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan, pengiktirafan AS dan para pemimpin dunia lain terhadap Malaysia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada dasar yang jelas, pentadbiran yang jujur, serta komitmen kerajaan terhadap pemerintahan bersih yang telah memulihkan kredibiliti negara selepas bertahun-tahun dilanda rasuah dan ketidaktentuan politik.
Malangnya kata Prakash, ketika dunia mengiktiraf kemajuan Malaysia, terdapat pihak pembangkang tertentu yang terus menyebarkan sikap negatif dan naratif palsu dengan tujuan menjejaskan imej negara serta meremehkan kejayaan Kerajaan MADANI.
''Tindakan sebegitu amat tidak bertanggungjawab dan tidak patriotik. Pada saat Malaysia sedang kembali dihormati di peringkat antarabangsa, pihak-pihak ini memilih kepentingan politik mengatasi kepentingan negara, dengan niat memecahbelahkan dan bukannya menyatukan rakyat.
''Rakyat mesti sentiasa berwaspada dan menolak usaha-usaha untuk memesongkan kebenaran. Usaha kerajaan dalam membanteras rasuah, melaksanakan pembaharuan ekonomi, dan menegakkan keadilan sosial bukan sekadar slogan, tapi ia adalah tindakan sebenar dan dapat diukur yang telah mula menunjukkan hasilnya.
''Keyakinan pelabur yang semakin meningkat, suara Malaysia yang dihormati dalam ASEAN serta kestabilan pentadbiran negara adalah bukti nyata perkara ini,'' tegas beliau lagi.
Prakash yang juga Ketua Cabang KEADILAN Tebrau menyimpulkan bahawa Malaysia yang kini dipimpin PM Anwar berada di landasan betul dan tiada usaha yang mampu menggagalkan kemajuan negara ini.









Comments