Sidang Kemuncak ASEAN: Malaysia mucul kembali sebagai kuasa diplomasi utama
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Helmi Foad
Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 di Kuala Lumpur menggambarkan kebangkitan semula kuasa diplomasi Malaysia serta kebijaksanaan pertubuhan serantau itu menyesuaikan diri dengan cabaran geopolitik dan ekonomi global yang baharu, demikian kata seorang penganalisis.
Bagi beliau apa yang berlaku bukan sekadar perarakan diplomatik, tetapi tarian halus diplomasi moden yang kompleks, pantas dan penuh ketelitian.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pengantara berwibawa dan pembina jambatan di dunia yang bergolak.
Negara kecil dan sederhana seperti Malaysia, menurut beliau, masih mampu memainkan peranan dengan kejelasan moral dan prinsip yang konsisten.
"Lebih mendalam lagi, kejayaan ini mencerminkan penyegaran semula dasar luar Malaysia sejak 2023, dipacu oleh diplomasi aktif Perdana Menteri Anwar yang berpaksikan prinsip dan kejelasan tujuan.
"Pendekatan beliau menggabungkan prinsip dengan pragmatisme, daya tarikan dengan kejujuran, serta keyakinan bahawa suara Malaysia harus didengari, bukan sekadar dicatatkan," kata beliau dalam tulisan bertajuk “Beyond the Summitry – Elevating ASEAN’s Promise and Playing Field”.
"Dalam rantau yang sering didefinisikan oleh tarik-menarik kuasa besar, Malaysia memilih penglibatan tanpa ketundukan, keyakinan tanpa kesombongan dan kebebasan tanpa pengasingan."
Dalam pada itu, jelas Dr Faiz, meyakinkan seorang Presiden Amerika Syarikat yang skeptikal untuk hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN merupakan kejayaan diplomatik Malaysia dengan ketekunan secara senyap.

"Donald Trump, terkenal dengan sikap tidak menentu dan kecenderungan mencetuskan perdebatan, tetap seorang pemimpin dengan kuasa dan pengaruh besar terhadap rantau ini.
"Kehadirannya di bumi ASEAN kali ini dengan gaya yang bersemangat namun berisi merupakan pengiktirafan terhadap ketekunan Malaysia dan isyarat bahawa ASEAN kini kembali relevan," katanya.
Jelas Dr Faiz, pencapaian paling penting ialah perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand yang dimeterai hasil diplomasi berterusan Malaysia dan ditandatangani bersama oleh Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"Dalam keadaan geopolitik semasa, pencapaian itu amat manis. Kedua-dua pemimpin tidak menyembunyikan kesukaran memujuk dua jiran berdaulat itu untuk berundur dari tepi konflik, namun mereka sama-sama mengakui bahawa keamanan walau tidak sempurna, ia kekal satu-satunya jalan yang wajar.
"Perjanjian itu mungkin tidak menyelesaikan semua punca pertikaian, tetapi ia mengembalikan semula ketenangan yang diperlukan," ulas beliau.
Dalam pada itu kehadiran Brazil dan Afrika Selatan sebagai Guests of the Chair tahun ini turut menjadi tanda keberanian diplomasi Malaysia yang berpandangan jauh sebagai usaha untuk meluaskan kerjasama global ASEAN.
Jelasnya lagi, langkah ini dibina atas kejayaan Malaysia sebelumnya apabila menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China buat julung kali.
Dr Faiz berpandangan, ketika dunia memerlukan keseimbangan hubungan dengan Washington dan Beijing yang semakin rumit pendekatan antara-rantau kini menjadi pertaruhan terbaik ASEAN,
"Ini mencerminkan keyakinan Malaysia bahawa masa depan ASEAN bukanlah dengan berundur ke dalam sempadannya, tetapi dengan berdepan dunia luar dengan tenang dan penuh tujuan," katanya.
Satu lagi detik penting, katanya, ialah ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), sebuah proses yang asalnya lahir di Kuala Lumpur.
"Dicipta sebagai forum jujur bagi dialog strategik, politik dan ekonomi EAS sering dikritik kerana terlalu tersusun dan rutin sehingga kehilangan daya hidupnya. Saya sendiri, secara berseloroh, pernah menyifatkannya sebagai dalam “keadaan koma”. Tetapi kini tidak lagi," katanya.
Menurut beliau, Malaysia dan anggota ASEAN berjaya menghidupkan semula semangat EAS melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Keamanan dan Kestabilan, pernyataan bersama pertama dalam tiga tahun yang mendapat persetujuan semua anggota EAS.
Ini kerana kata beliau, percubaan sebelumnya di Jakarta dan Vientiane gagal akibat kecenderungan kuasa besar menjadikan forum itu gelanggang perbalahan diplomatik.
"Namun dalam jangka panjang, ahli-ahli EAS perlu menilai semula bagaimana mekanisme itu boleh dimodenkan. ASEAN tidak dapat melakukannya sendirian, ia memerlukan komitmen jujur daripada rakan dialog utama untuk mengekalkan forum itu sebagai wadah konstruktif, bukan medan pertembungan," katanya.
Dr Faiz menjelaskan Malaysia juga menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperdalam hubungan ekonomi dalaman rantau ini agar tidak terlalu terdedah kepada kejutan tarif dan tekanan geoekonomi.
"Ini termasuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) melalui Protokol Kedua yang bukan sekadar pengurangan tarif tetapi turut memodenkan peraturan kastam dan penyelesaian pertikaian supaya pergerakan barangan “lebih cepat, lebih murah dan lebih cekap merentasi sempadan ASEAN.
"Dalam masa sama, perjanjian ASEAN–China Free Trade Area (ACFTA 3.0) diperluas meliputi sektor digital dan hijau, menandakan niat ASEAN untuk mengekalkan akses pasaran dan rantaian bekalan dengan China, walaupun tarif AS semakin ketat," katanya lagi.





