top of page

Sidang Kemuncak ASEAN berjaya angkat martabat Malaysia di mata dunia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 11 minutes ago
  • 2 min read

Ketokohan PM Anwar mendapat pujian pelbagai pemimpin dunia sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke 47
Ketokohan PM Anwar mendapat pujian pelbagai pemimpin dunia sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke 47

Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober lalu mencatat sejarah baharu apabila Malaysia berjaya membuktikan keupayaan luar biasa sebagai tuan rumah yang berwibawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).


Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor, David Cheong Kian Young berkata, keberhasilan penganjuran sidang itu bukan sekadar kejayaan diplomatik, malah mengangkat martabat Malaysia sebagai kuasa tengah atau perantara berkecuali yang berpengaruh di pentas antarabangsa.


"Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan kemampuan luar biasa bukan sahaja sebagai tuan rumah yang berwibawa, tetapi juga sebagai pemimpin serantau yang dihormati oleh dunia," katanya dalam satu kenyataan.


David Cheong berkata, pelbagai pemimpin dunia memberikan pujian terbuka terhadap kecekapan dan karisma kepimpinan Datuk Seri Anwar sepanjang sidang tersebut berlangsung.


"Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan PMX sebagai ‘a strong and wise leader, energetic, honest, and very respected in Asia.’


David Cheong Kian Young
David Cheong Kian Young

"Trump turut melanggar protokol diplomatik secara positif apabila mengajak PMX menaiki kenderaan rasmi Presiden Amerika, The Beast, sebagai simbol persahabatan dua hala yang semakin erat. Tindakan spontan itu mencerminkan keakraban hubungan peribadi antara kedua-dua pemimpin serta keyakinan Washington terhadap peranan Malaysia sebagai rakan strategik di Asia Tenggara," ujarnya.


Manakala Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn pula, katanya, turut menyanjung keupayaan Malaysia menakhodai pelbagai cabaran politik dan ekonomi di rantau Asia Tenggara dengan berkesan.


Antara pemimpin lain yang memuji kehebatan penganjuran sidang termasuk Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi, yang menyifatkan Malaysia sebagai “tuan rumah profesional, berkomitmen dan penuh dedikasi.”


David Cheong menambah, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN kali ini turut memperkukuh imej Malaysia sebagai jambatan dialog antara Timur dan Barat, dengan impak besar dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan dan sosial.


"Dalam bidang ekonomi, sidang ini membuka peluang pelaburan baharu dan mengukuhkan hubungan dua hala serta pelbagai hala.


"Dalam bidang keselamatan pula, Malaysia berjaya menampilkan ASEAN sebagai blok yang komited terhadap keamanan serantau, termasuk dalam isu Myanmar serta konflik Thailand-Kemboja," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa kecergasan dan semangat kerja Perdana Menteri menjadi inspirasi kepada seluruh delegasi.


"Sepanjang sidang berlangsung dengan jadual padat yang merangkumi sesi bilateral, mesyuarat majlis, lawatan rasmi dan medium-media persidangan, PMX tampil dalam keadaan yang sihat dan bertenaga.


"Beliau menunjukkan tahap kecergasan dan kesihatan yang tinggi, bersemangat dalam setiap sesi, menjalankan tugas dengan kecekapan dan mempamerkan stamina seorang pemimpin yang komited kepada tanggungjawabnya," ujarnya.


Tegas David Cheong, kejayaan sidang tersebut membuktikan bahawa Malaysia Madani bukan sekadar slogan, tetapi satu realiti yang diterjemah melalui dasar, diplomasi dan keberanian kepimpinan negara.


"Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bukan sekadar kejayaan diplomatik, tetapi juga simbol kekuatan perpaduan, kestabilan dan daya tahan Malaysia di pentas antarabangsa.


"Ia menandakan bahawa di bawah kepimpinan PMX, Malaysia bukan sahaja memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan ASEAN, tetapi juga mampu membawa suara rantau ini ke pentas global dengan penuh yakin dan berprinsip," katanya.


Justeru, beliau menyeru agar rakyat Malaysia terus menyokong dasar kerajaan dalam memperkukuh kedudukan negara di peringkat global.


"Kejayaan ini adalah kejayaan bersama hasil perpaduan, keyakinan, dan semangat Malaysia yang tidak pernah luntur," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page