Sidang GCC–ASEAN–China tonjol kepimpinan proaktif Malaysia
- Suara Keadilan

- Jun 14
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
ANALISIS BERITA: Peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 telah memperlihatkan kebijaksanaan diplomatik yang ketara apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memperkukuh hubungan strategik antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China menerusi penganjuran Sidang Kemuncak GCC–ASEAN–China yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur.
Pakar Geo-Strategis Dr Azmi Hassan berkata, langkah membawa China ke dalam sidang kemuncak yang baru lalu dilihat sebagai satu tindakan bijak oleh Malaysia yang ketika ini turut memegang portfolio Pengerusi ASEAN.
"Meskipun China tidak termasuk dalam sidang pertama GCC–ASEAN yang berlangsung di Riyadh pada 2023, Malaysia melihat keperluan untuk melibatkan China memandangkan kedudukannya sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia serta hubungan eratnya dengan ASEAN dalam aspek ekonomi dan geopolitik.
"Langkah ini bukan sahaja mencerminkan kebijakan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama pelbagai hala, malah memperlihatkan bagaimana jawatan pengerusi ASEAN dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan serantau, bukan sekadar kepentingan nasional.

"Perdagangan bebas dan kerjasama ekonomi yang sedia wujud melalui RCEP (Regional Comprehensive Economic Partnership) dan CAFTA (China–ASEAN Free Trade Area) menjadi asas kukuh bagi keterlibatan China dalam sidang ini, menjadikan penyertaannya bukan sesuatu yang luar biasa," kata Dr Azmi kepada Suara Keadilan.
Tambah beliau, sidang kemuncak ini juga disusuli dengan penerbitan Deklarasi Kuala Lumpur, satu dokumen penting yang memperkukuh aspirasi Malaysia untuk melihat ASEAN lebih relevan dan terlibat secara aktif dalam isu-isu antarabangsa dengan menekankan konsep centrality ASEAN, iaitu peranan pusat ASEAN dalam mengurus cabaran serantau dan global, termasuk konflik yang sedang berlaku di Gaza.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan keperluan ASEAN bersikap neutral, khususnya dalam isu yang berkaitan dengan Laut China Selatan.
"Konflik yang berlarutan ini memerlukan ASEAN untuk bersatu dan tidak terbahagi kepada blok yang menyokong kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau China. Neutraliti ini dilihat sebagai jalan tengah yang paling strategik untuk mengekalkan kestabilan serantau serta kredibiliti ASEAN.
"Deklarasi Kuala Lumpur dinilai sebagai satu titik tolak penting bagi ASEAN. Jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, ia mampu mengangkat kedudukan ASEAN sebagai organisasi yang bukan sahaja mengadakan perbincangan, tetapi juga benar-benar memainkan peranan dalam menyelesaikan isu-isu global yang kompleks," katanya lagi.
Tambah beliau dengan tindakan berani dan berpandangan jauh oleh Malaysia, ASEAN kini berada pada landasan yang lebih kukuh untuk memainkan peranan yang lebih besar di pentas antarabangsa.
Sebelum ini Malaysia hanya dikenali sebagai negara yang mempersatukan rantau Asia pada era 1990an ketika Tun Mahathir sebagai PM dan Anwar Ibrahim Timbalan PM.
Bermulanya krisis politik 1998, Malaysia tidak lagi dianggap sebagai negara yang mampu memimpin rantau Asia Tenggara apatah lagi sebagai pemersatu Barat dan Timur, malah sering dibidas rekod hak asasi manusianya yang semakin menurun berikutan penindasan ke atas pembangkang.
Rekod Malaysia bertambah buruk apabila berlaku skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad yang dianggap sebagai salah satu skandal kewangan besar rentas benua berikutan dana awam yang dicuri dibersihkan di pelbagai negara termasuk di Amerika Syarikat dan Eropah.
Oleh itu, beberapa sidang kemuncak yang berjaya dianjurkan pentadbiran Anwar Ibrahim pada bulan lalu telah memberi nafas baharu dan memulihkan imej Malaysia di mata dunia.









Comments