Sidang Doha: Pakatan ketenteraan negara Islam wajar hadapi keganasan Israel
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Desakan agar dunia Islam membentuk kerangka pertahanan bersama semakin mendapat perhatian, khususnya selepas serangan berterusan Israel ke atas Gaza, termasuk terbaru melibatkan pasukan rundingan damai di Doha, Qatar yang menyebabkan kematian pemimpin Hamas dan pegawai keselamatan Qatar.
Pakar geostrategis, Dr Azmi Hassan berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa negara dunia perlu bertindak lebih tegas terhadap Israel mewajarkan tindakan ketenteraan dilakukan sekiranya Israel menyerang mana mana negara Islam selepas ini.
Katanya, walau wujud kekecewaan terhadap resolusi Sidang Kemuncak Arab-Islam baru-baru ini, banyak pihak membuka semula perbincangan mengenai keperluan mengaktifkan semula pakatan pertahanan negara-negara Islam, khususnya di rantau Teluk.
"Pakatan tentera negara Islam sebenarnya sudah ada. Yang paling signifikan adalah diaktifkan semula Pakatan Pertahanan GCC negara Teluk.
"Pada tahun 2015, pakatan ketenteraan diketuai Arab Saudi diwujudkan untuk memerangi militan di Yemen, dan Malaysia juga turut serta dalam pakatan ini.
"Pada tahun 2017 Arab Saudi menggembleng lebih 50 negara Islam dalam satu gabungan tentera bagi menentang ideologi dan militan Al-Qaeda.
"Pakatan ini dikenali sebagai NATO Islam kerana keanggotaannya yang meluas, termasuk Malaysia.
"Kerangka GCC boleh dijadikan landasan untuk menggerakkan semula kerjasama ketenteraan negara-negara Islam. Peranannya bukan untuk berperang, tetapi sebagai isyarat bahawa negara-negara Islam bersatu jika terus ditekan," kata Azmi.
Azmi berkata, pakatan tentera negara Islan itu boleh “memberi tekanan” dengan sekurang-kurangnya melalui latihan ketenteraan yang boleh dijalankan di rantau Timur Tengah sebagai tanda kesepakatan.
"Latihan seperti ini adalah mesej politik dan strategik, sama seperti latihan tentera Amerika Syarikat dengan Filipina yang memberi isyarat kepada China, atau latihan tentera Korea Selatan-Amerika Syarikat yang ditujukan kepada Korea Utara," jelasnya.
Beliau menegaskan, Malaysia konsisten dengan dasar luarnya terhadap Israel dan tidak mempunyai masalah menyertai pakatan ketenteraan dunia Islam jika ia diaktifkan semula.
Katanya, inisiatif itu boleh menjadi langkah minimum untuk menunjukkan solidariti dunia Islam, sekali gus memberi amaran jelas kepada pihak yang terus menindas rakyat Palestin.
"Dalam perkara ini dimulakan dengan Pakatan Pertahanan GCC dan Malaysia tidak ada masalah dalam perkara ini kerana kita dahulu konsisten dengan dasar luar kita terhadap Israel.
"Jadi itu suatu yang paling minimum boleh dilakukan," ujarnya lanjut.
Comments