Sidang Digital ASEAN: Visi Malaysia bina komuniti digital berdaya tahan, inovatif, inklusif
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Malaysia komited memperkukuh tadbir urus data dan keselamatan siber menerusi pelaksanaan undang-undang baharu seperti Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, selain melaksanakan kempen advokasi keselamatan internet yang telah menjangkau lebih 150,000 rakyat.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, satu lagi teras penting ialah inovasi sebagai enjin penggerak ekonomi digital ASEAN.
Beliau berkata, ekonomi digital ASEAN kini bernilai AS$300 bilion dan dijangka melebihi AS$1 trilion menjelang 2030.
''Di Malaysia, program Geran Digital PMKS MADANI dan pelaksanaan JENDELA serta 5G memperkasa komuniti dan perniagaan. Liputan 5G negara pada ketika ini telah mencapai 82.4% kawasan berpenduduk.
''Teras seterusnya yang diberikan tumpuan ialah kerjasama serantau untuk transformasi digital. Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara jiran, sektor swasta dan rakan antarabangsa.
''Usaha ini termasuk perluasan siri Global System for Mobile Communications Association (GSMA) M360 ke ASEAN pada 2026, selaras dengan Visi ASEAN 2045 untuk membina komuniti digital yang berdaya tahan, inovatif dan inklusif,'' katanya di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Edisi ASEAN) yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah sempena Pengerusi ASEAN 2025.
Acara yang julung kali dianjurkan bersama GSMA itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri dan rakan serantau bagi membincangkan hala tuju masa depan digital ASEAN.
Teo menyifatkan, sidang kemuncak itu merupakan permulaan kepada fasa baharu pembinaan negara digital ASEAN yang dipacu kepercayaan, berkembang melalui inovasi, dan maju bersama.
Untuk rekod, Malaysia waktu ini menjadi tuan rumah Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Edisi ASEAN) yang julung kali dianjurkan bersama GSMA, bersempena Pengerusi ASEAN 2025.
Acara ini menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri dan rakan serantau bagi membincangkan hala tuju masa depan digital ASEAN.
Comments