Sidang Dewan Negeri Selangor mulai 23 Ogos, secara normal - MB



Sidang Dewan Negeri Selangor akan berlangsung secara penuh mulai 23 Ogos ini.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tarikh sidang tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.


"Sukacita saya memaklumkan Dewan Negeri Selangor akan bersidang mulai 23 Ogos hingga 6 September ini," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Amirudin lagi prosedur membuka sidang sesuai peruntukan yang termaktub di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Ibni Sultan Ahmad Shah melalui warkah yang diutus KDYMM Tuanku bertarikh 6 Julai 2021.


Katanya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah juga telah memberi perkenan Baginda bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Dewan Negeri Selangor Keempat Belas, Tahun 2021 itu.


"Kerajaan Selangor menjunjung kasih di atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda dan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini.


"DYMM Sultan Selangor telah berkenan untuk berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan pada Isnin, 23 Ogos 2021," katanya.


Menurut MB lagi, Dewan Negeri Selangor akan mula bersidang selama 8 hari, iaitu 24 Ogos 2021 – 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 – 3 September 2021 serta 6 September 2021.


"Sidang dewan kali ini adalah mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukan sekadar sidang khas.


"Sidang DUN juga akan dijalankan dengan kawalan Tatacara Pengendalian Piawai dan memfokuskan kepada segala usaha Kerajaan Negeri menangani penularan wabak Covid-19, serta mendapatkan maklum balas dan cadangan dari Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sesuai dengan peranan bidang legislatif sebagai sistem semak imbang kepada bidang eksekutif," katanya lagi.


Kata Amirudin, hal itu juga selaras dengan aspirasi rakyat agar setiap keputusan Kerajaan Negeri dibuat secara bertanggungjawab dan berhemah.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
10,710
153
5778
Total
916,561
7019
784,949

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
491,381
8,692
392,980
Total
186,407,192
4,028,301
168,805,736

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER