top of page

Sidang ASEAN: PMX, Malaysia tonjol model Islam rahmah, inklusif

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1d
  • 2 min read
Dr Zulkifli menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 berjaya menyerlah imej Islamik Malaysia
Dr Zulkifli menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 berjaya menyerlah imej Islamik Malaysia

Oleh: Hasbul Ahmad


Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 pada 26 - 28 Okt lalu yang dipelopori Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) menyerlahkan imej Malaysia sebagai negara aman dan stabil di dunia, selain menonjolkan Islam sebagai agama yang membawa rahmah dan kemajuan.


Bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal Agama, Senator Dr Zulkifli Hasan, kepimpinan PMX dan Malaysia dalam penganjuran sidang ASEAN kali ini bukan sahaja menarik perhatian dunia, malah berjaya menyatukan pelbagai pihak dalam memperkukuh kestabilan serantau.


"Kita berjaya mendatangkan pimpinan utama dunia dan Malaysia menjadi tumpuan global dengan kepengurusan ASEAN kali ini.


"Malaysia turut memainkan peranan penting sebagai pemudahcara kepada pelan damai Thailand–Kemboja, menyokong kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, serta usaha menghentikan ketidakstabilan di Myanmar.


"ASEAN adalah rantau yang paling aman dan stabil di dunia dan Islam di Asia Tenggara pula adalah Islam yang wasati - sederhana, meraikan budaya setempat dan kepelbagaian," kata Dr Zulkifli kepada Suara Keadilan.


Beliau menegaskan, rantau Asia Tenggara kini menjadi contoh kejayaan dunia dengan keupayaannya mengekalkan keamanan meskipun mempunyai hampir 700 juta penduduk dari pelbagai latar belakang agama dan budaya.


Dr Zulkifli berkata, melalui kepengerusian ASEAN, Malaysia berjaya menampilkan model negara Islam inklusif dan mesra semua kaum, seiring dengan semangat Malaysia Madani.


"ASEAN punya hampir 700 juta penduduk, hidup dalam keadaan yang aman dan damai. Terbukti sejarah menunjukkan ASEAN miracle atau “Keajaiban ASEAN”.


"Dalam konteks yang lain Malaysia menggunakan peluang ini untuk menawarkan suatu model amalan negara Islam ataupun rantau yang mesra kepada semua penduduk seiring dengan tema inklusiviti ataupun keinklusifan," ujarnya lanjut.


Sementara itu, dalam konteks ekonomi Islam Dr Zulkifli berkata, Malaysia ketika kepengerusian ASEAN merupakan peneraju ekosistem halal serantau dan global, bukan sekadar sebagai pengeluar produk halal.


"Sebagai contoh dalam konteks halal, Malaysia mendahului dunia sebagai negara yang diiktiraf halal yang terbaik. Kita diiktiraf oleh lebih 88 badan halal dunia daripada 47 buah negara, dan ini merupakan satu peluang yang ada untuk kita tawarkan kepada dunia.


"Inilah model yang kita ingin tunjukkan, Islam yang meraih kepelbagaian dan membawa rahmah, bukan eksklusif atau terpisah daripada realiti masyarakat majmuk," ujar beliau.


Dr Zulkifli menambah, kekuatan Malaysia terletak pada keseimbangan antara nilai Islam, kemajuan, dan demokrasi, menjadikan negara ini contoh terbaik amalan pentadbiran Islam.


"Malaysia boleh menjadi juara Islam yang rahmah, Islam yang membawa kemajuan, dan seiring dengan konsep Madani, sebuah negara Islam demokratik yang mengiktiraf budaya, kepelbagaian dan perbezaan," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page