top of page

Sidang ASEAN: Malaysia bawa tiga deklarasi kukuhkan keselamatan serantau

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 days ago
  • 2 min read

ree

Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung minggu ini, Malaysia bakal membawa tiga deklarasi utama hasil daripada 19th ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (AMMTC) yang berlangsung di Melaka pada 8–12 September lalu sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh keselamatan dan kerjasama serantau memerangi jenayah rentas sempadan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, Sidang Kemuncak kali ini bukan sekadar kesinambungan tetapi satu “jambatan penting yang memastikan hasil perbincangan AMMTC di Melaka diterjemahkan menjadi dasar nyata di peringkat kepimpinan ASEAN.”


"AMMTC ke-19 di Melaka telah bersetuju untuk menerima pakai ASEAN Plan of Action in Combatting Transnational Crime (2026–2035), pelan strategik jangka panjang yang menjadi payung utama dalam usaha memerangi jenayah rentas sempadan di rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, pelan itu memberi tumpuan kepada kerjasama risikan, pengukuhan sistem keadilan, keselamatan digital, ketahanan sosial serta peningkatan kapasiti penguatkuasaan.


Saifuddin berkata di bawah kerangka tersebut, tiga deklarasi penting akan dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebagai pelengkap kepada pelan strategik serantau yang akan memandu ASEAN dalam dekad mendatang, iaitu:


Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

— Diterajui Malaysia, deklarasi ini menegaskan komitmen ASEAN memperkukuh integriti kewangan serantau melalui pengawalseliaan lebih ketat, kerjasama risikan dipertingkat dan perkongsian maklumat rentas agensi.


Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pemantauan dan Penangkapan Buron Jenayah Rentas Sempadan

— Diusulkan oleh Vietnam, deklarasi ini menyeru kerjasama lebih erat dalam pengesanan, penahanan dan pemulangan penjenayah melalui penyelarasan operasi serta pengukuhan perjanjian ekstradisi.


Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pemanfaatan Sukan sebagai Alat Memperkukuh Ketahanan Sosial terhadap Ekstremisme

— Diusulkan oleh Indonesia, deklarasi ini memperkenalkan pendekatan progresif menjadikan sukan dan pembangunan belia sebagai alat membina perpaduan serta mencegah radikalisasi melalui penglibatan positif komuniti.


"Menuju ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ketiga-tiga deklarasi ini menjadi asas penting di mana komitmen yang dicapai di Melaka akan diterjemahkan kepada dasar dan pelan tindakan serantau yang nyata, berpaksikan ASEAN Plan of Action 2026–2035," ujar Saifuddin.


Beliau menegaskan, Malaysia berbangga menjadi tuan rumah kepada perbincangan strategik tersebut yang membuktikan kemampuan diplomasi negara memimpin rundingan kompleks di peringkat ASEAN.


"Inilah semangat Malaysia Madani yang kami bawa ke pentas ASEAN, membina rantau yang aman, progresif dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page