top of page

Sidang ASEAN: M'sia akan gesa Trump halang penjajahan Israel di Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 14
  • 2 min read

PM bakal gesa AS memastikan untuk menghalang penjajahan berterusan Israel ke atas Gaza
PM bakal gesa AS memastikan untuk menghalang penjajahan berterusan Israel ke atas Gaza

Oleh: Akmal Manaf


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, agar mengambil pendirian tegas dalam menghalang segala bentuk pencerobohan dan penjajahan terhadap Gaza dan Palestin.


Anwar berkata, gesaan itu akan disampaikan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.


Selain itu, dalam persidangan antarabangsa tersebut, Anwar turut menyatakan bahawa Malaysia akan merakamkan penghargaan kepada Trump atas usahanya dalam merangka pelan damai untuk Gaza.


''Kita mendoakan agar pelan damai fasa pertama ini berhasil kerana ia membawa makna iaitu menghentikan pembunuhan dan membawa pulang tahanan Palestin yang keseluruhannya puluh ribu di Israel untuk kembali ke Palestin dan Gaza.


''Bagi kita, itu sangat penting kerana jenayah dilakukan zionis Israel ke atas Gaza merupakan jenayah pada abad ini yang parah pernah disaksikan,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).


Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) yang ingin mengetahui sama ada Malaysia mempunyai pelan alternatif yang bersifat pragmatik sekiranya pelan damai 20 perkara oleh Trump gagal dilaksanakan.


Shahar turut bertanya sama ada pelan alternatif itu telah dirangka bagi mengelakkan kelumpuhan diplomasi, dan sekiranya sesuai, boleh dicadangkan kepada pentadbiran ASEAN dalam sidang akan datang.


Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia masih memandang positif terhadap pelan damai tersebut kerana peranan AS dalam mengekang serangan yang berlaku walaupun banyak implikasi lain khususnya isu pembekalan senjata yang telah dibangkitkan sebelum ini.


Mengenai pelan damai tersebut, Anwar menjelaskan Malaysia pada saat akhir bersetuju untuk memberikan sokongan, namun dengan syarat-syarat tertentu.


''Kebanyakan negara, termasuk yang hadir di Sharm el-Sheikh, Mesir, telah menyatakan sokongan penuh terhadap pelan damai tersebut.


''Kebetulan rundingan Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) maklum kepada saya, semua negara bersetuju dengan resolusi awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun dengan syarat.


''Syaratnya iaitu pengiktirafan terhadap kedudukan Palestin sebagai sebuah negara, penyelesaian menyeluruh terhadap isu termasuk di Tebing Barat dan mengembalikan hak rakyat Palestin yang terusir dari Gaza dan Palestin,'' ujarnya lagi.


Trump dijadual akan hadir di ibu negara pada hujung bulan ini bagi menghadiri persidangan tersebut.


Mohamad menegaskan, jemputan kepada Trump dilakukan atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan jemputan rasmi turut dibuat kepada semua ketua negara untuk menghadiri persidangan itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page