Sidang 5 hari: PH mahu kehadiran penuh Ahli Parlimen, perbahasan atau Speaker letak jawatan


Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan mendakwa Pakatan Harapan (PH) mahu melaga lagakan beliau dengan Istana Negara kerana tidak berniat untuk membenarkan perbahasan dalam mesyuarat khas Parlimen bermula 26 Julai ini.


Majlis Presiden PH berkata, Azhar tidak wajar membuat kenyataan sedemikian yang jelas tidak mengikut peraturan Parlimen memandangkan taraf beliau sebagai Speaker.


"Majlis Presiden PH terkejut membaca kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang mendakwa PH cuba melagakan beliau dan Istana Negara. Ini bukanlah satu kenyataan yang patut dikeluarkan seorang Speaker Dewan Rakyat, dan menggunakan bahasa yang tidak mengikut peraturan Parlimen


"Isu pokok di sini ialah keputusan-keputusan Kerajaan Perikatan Nasional berkenaan perjalanan sidang khas Parlimen tidak mencapai maksud penuh titah pandangan yang dizahir Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.


"Sidang khas ini tiada perbahasan ke atas sebarang usul, hanya mendengar kuliah Menteri, dengan kehadiran jumlah Ahli Dewan Rakyat yang tidak lengkap, dan tanpa sebarang undian terutama berkait Proklamasi Darurat.


"Maka jika Speaker Dewan Rakyat tetap melaksanakan keputusan-keputusan Kerajaan itu, pada ketika beliau menyedari ianya tidak mencapai maksud sebenar Duli-Duli Tuanku, maka Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah turut sama mengingkari titah tersebut," kata mereka dalam satu kenyataan.


Menurut Majlis Presiden lagi, titah titah pandangan Seri Paduka Baginda mestilah dijunjung tinggi oleh Kerajaan dan juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat.


Tambah mereka, Speaker tidak perlu bimbang untuk membenarkan sesi perbahasan kerana PH telah berjanji tidak akan memasukkan sebarang usul Undi Tidak Percaya ke atas Perdana Menteri.


"Kami hanya mahu menumpukan perhatian sidang khas ini kepada perkara-perkara penting pandemik Covid-19 dan kesusahan rakyat dalam krisis ekonomi masakini," ujar kenyataan itu.


Tegas PH, untuk mencapai maksud penuh titah Yang di-Pertuan Agong berkenaan sidang Parlimen, Speaker wajib melakukan tiga perkara penting yang mengekalkan kebebasan dan keunggulan institusi Parlimen.


"Speaker jangan meletakkan had 80 orang dan membenarkan semua Ahli Parlimen hadir dan berada di dalam Dewan pada bila-bila masa mesyuarat berjalan. Ini untuk memastikan semua Ahli Parlimen yang ingin berbahas boleh berbuat sedemikian.


"Membenarkan perbahasan penuh berasaskan usul Menteri untuk semua isu-isu yang telah dinyatakan dalam titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, termasuk Pelan Pemulihan Negara, Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan program vaksinasi, langkah-langkah mencegah Covid-19, serta usaha memulihkan ekonomi dan

menjamin kelangsungan hidup rakyat. Kami tidak boleh terima sidang Parlimen yang dipanggil hanya untuk mendengar ceramah atau kuliah Menteri tanpa perbahasan penuh.


"Speaker perlu putuskan sama ada beliau menjunjung penuh titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, atau sekadar mengikut arahan Kabinet.


"Jika Speaker Dewan Rakyat merasakan beliau tidak mampu melaksana tiga perubahan berkenaan maka beliau dipelawa untuk meletakkan jawatan," kata mereka lagi.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
10,710
153
5778
Total
916,561
7019
784,949

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
491,381
8,692
392,980
Total
186,407,192
4,028,301
168,805,736

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER