Sidang 5 hari: Parlimen bukan tempat dengar kuliah menteri - PH


Sidang Perlimen 5 hari tidak memenuhi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi peringatan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bahawa sidang Dewan Rakyat yang bermula 26 Julai sehingga Ogos ini bukanlah sidang Parlimen normal.


Menurut kenyataan dikeluarkan PH, mesyuarat Parlimen seperti itu lebih kepada mendengar taklimat daripada menteri-menteri PN sahaja.


"Majlis Presiden berpandangan sidang khas ini terlalu pendek untuk benar-benar membahaskan perkara-perkara yang telah dititikberatkan Seri Paduka Baginda, iaitu Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara.


"Malah kami amat kesal Kerajaan PN hanya berniat untuk memberi penerangan berkaitan Pelan Pemulihan Negara Covid-19 tanpa sebarang perbahasan, dan Proklamasi serta Ordinan-Ordinan Darurat hanya akan dibentang dan tidak dibahas mahupun diputuskan. Ini langsung tidak menepati titah pandangan Seri Paduka Baginda.


"Sekiranya Kerajaan PN masih engkar titah pandangan Seri Paduka Baginda, maka persidangan Parlimen kali ini hanyalah satu sandiwara politik dan bagai 'melepaskan batuk di tangga'," kata mereka dalam kenyataan, hari ini.


Menurut Majlis Presiden lagi, Parlimen adalah tempat membahaskan rintihan rakyat dan mencari jalan penyelesaian terbaik.


PH menuntut kerajaan PN memanjangkan tempoh sidang seperti biasa dan membawa Pembangkang terlibat dalam merangka dasar-dasar penting seputar isu memerangai Covid 19 dan pemulihan ekonomi negara.


"Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat di samping mencari penyelesaian kepada krisis negara.


"Prinsip akauntabiliti dan ketulusan perlu ditegakkan dengan peranan semak dan imbang yang melibatkan semua Ahli Parlimen, dan Parlimen bukannya pentas untuk hanya mendengar kuliah Menteri tanpa diberi ruang membahas.


"Oleh itu, kerajaan perlu menjemput pihak Pembangkang untuk bersama-sama merangka serta mengatur perjalanan sidang khas Parlimen ini, yang mesti mengusahakan penyelesaian agar rakyat Malaysia dapat keluar dari krisis Covid-19 dan ekonomi.


"Janganlah sehingga pihak Pembangkang terpaksa mendesak sidang Parlimen khas yang adil. Kita mesti bersama memerangi Covid-19 untuk menyelamatkan negara, dan bukannya berpolitik untuk melindungi jawatan dan kedudukan," kata mereka lagi.


Kerajaan PN bersetuju untuk membuka semula Parlimen kelmarin menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri. Parlimen dijadual bersidang pada 26 Julai selama lima hari bagi Dewan Rakyat, dan bermula 3 Ogos selama tiga hari bagi Dewan Negara.


Keputusan tersebut dibuat setelah diberi peringatan tiga kali oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta tekanan parti-parti politik malah juga rakyat Malaysia.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER