Harga lantai padi RM3,000: Masa PN jadi kerajaan kenapa tak buat?
- Helmi Mohd Foad

- 5 days ago
- 2 min read

Cadangan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan agar harga lantai jualan padi dinaikkan kepada RM3,000 setan metrik hanya "wayang" politik parti pembangkang, demikian kata seorang aktivis Pakatan Harapan (PH).
Syam Ghaz berkata, hakikat sebenarnya ialah bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri ketika pentadbiran PN (2020 - 2022) sebelum ini gagal membela nasib pesawah padi apabila didakwa bertindak meneruskan monopoli dalam sektor beras negara.
"Nak naikkan RM3,000 harga lantai padi tu wayang Pas sahaja! Zaman Pas berkuasa tak kaji pun, malah kontrak Bernas disambung 10 tahun lagi oleh kerajaan PN," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas pada Ahad mencadangkan harga lantai padi RM3,000 sekiranya gabungan PN membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Takiyuddin, komitmen itu akan dimasukkan dalam manifesto gabungan berkenaan sebagai usaha meningkatkan pendapatan pesawah.
Syam Ghaz berkata sepanjang 33 bulan pentadbiran PN, tiada sebarang usaha dibawa untuk menaikkan harga lantai padi kepada RM3,000 setan metrik seperti dilaungkan sekarang.
"Fakta jelas menunjukkan sejak era (PM) Najib Razak, Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin hingga Ismail Sabri Yaakob, tiada seorang pun Perdana Menteri menaikkan harga lantai padi," katanya.
Namun jelas beliau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan sebagai pemimpin pertama mengambil kira suara pesawah dengan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,200 kepada RM1,500 satu tan.
Dalam masa sama, beliau mendakwa keputusan menyambung konsesi Bernas selama 10 tahun lagi ketika pentadbiran PN merupakan sebahagian punca sektor padi dan beras negara tidak boleh distruktur semula.
"Kontrak yang sepatutnya tamat pada 2021 telah disambung sehingga 2031 ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri," bidasnya.
Beliau turut mempersoalkan peranan Menteri Pertanian ketika itu, Ronald Kiandee serta pemimpin Pas termasuk Takiyuddin yang didakwa berdiam diri dalam isu tersebut.
Menurutnya lagi, usaha untuk mengurangkan kebergantungan import beras pernah dirancang ketika pentadbiran Pakatan Harapan termasuk cadangan mengurangkan sehingga 50 peratus keperluan import.
Namun, beliau mendakwa perancangan itu tergendala susulan kejatuhan kerajaan selepas krisis politik yang menyaksikan perubahan pentadbiran.
"Jika tiada gerakan ‘tebuk atap’, pelan penstrukturan semula industri padi dan beras negara sudah dilaksanakan," katanya.
Dalam pada itu, Syam turut mencabar ADUN Kota Siputeh, Ashraf Mustaqim yang sebelum ini lantang membangkitkan isu pesawah padi untuk tampil berdebat secara terbuka bagi membincangkan masa depan industri padi negara.
Sambil menegaskan beliau juga mempunyai sawah padi di Kelantan dan amat sesuai untuk mewakili para pesawah di negara ini.




Comments