SICS 2025: Selangor rintis ekonomi penjagaan negara
- Suara Keadilan

- Aug 27
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Selangor bakal menganjurkan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) pada Oktober ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persidangan bertaraf antarabangsa itu yang julung kali diadakan itu adalah langkah proaktif Kerajaan Negeri menghadapi cabaran masyarakat menua.
"Himpunan akan menghimpunkan pengusaha, penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pemain industri teknologi penjagaan dari dalam dan luar negara.
"Dengan penyertaan lebih 60 reruai pameran, forum, sesi persidangan dan padanan perniagaan, SICS akan menjadi pentas idea baharu, kerjasama strategik dan pelaburan dalam sektor penjagaan di Selangor," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sementara itu jelas Amirudin, pentadbirannya kini sedang dalam usaha memperkukuh Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor melalui kerjasama dengan UNICEF Malaysia bagi melindungi perkembangan awal kanak-kanak.
Jelasnya, usaha tersebut dilengkapkan dengan penglibatan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang akan menilai serta mengiktiraf nilai kerja penjagaan, khususnya yang dilakukan oleh wanita di rumah mahupun di pusat jagaan.
"Langkah bersepadu ini dijangka menyediakan perkhidmatan lebih baik untuk warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) serta penjaga. Malah, ia turut membuka peluang pekerjaan baharu, meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, dan menarik teknologi penjagaan dari negara maju seperti Jepun dan Korea.
"Selangor akan terus menjadi negeri peneraju dengan dasar komprehensif untuk sektor penjagaan sehingga 2030. Komitmen ini demi memastikan kebajikan rakyat terpelihara, ke arah masa depan yang lebih selamat, inklusif dan makmur untuk semua," tambah Amirudin.
Untuk rekod, Selangor menjadi negeri pertama melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua.
Dasar itu memberi tumpuan terhadap lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.









Comments