top of page

'Sibuk nak ganti nama Rafflesia, hutan Kelantan disodok pembalak MP tak kisah'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 22
  • 2 min read
ree

Sikap Ahli Parlimen (MP) Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang menunjukkan keprihatinannya terhadap bahasa Melayu dan ingin mengubah nama bunga Rafflesia agar tidak terkait dengan penjajah Inggeris dibidas aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz (gambar atas).


Menurut Syam Ghaz yang pernah menuntut dalam bidang taksonomi tumbuhan, nama bunga Rafflesia telah dikenali oleh para saintis serata dunia dan ianya tertakluk kepada International Code of Nomenclature for algae, fungi, and plants (ICN) tanpa boleh sewenang wenang ditukar atas alasan remeh.


"Walaupun atas dasar patriotik atau politik. Kalau ditukar, seluruh literatur akademik dan kajian saintifik dunia akan bercanggah. Ia juga tertakluk kepada kod nomenklatur global.


"Ia ada sejarah penemuan, nama saintifik, dan sistem klasifikasi antarabangsa. Bunga Rafflesia sudah diklasifikasi antarabangsa sejak 200 tahun lalu.


"Kalau nak beri penghormatan kepada tokoh negara, boleh buat melalui nama tempatan misalnya Bunga Raya (hibiscus rosa-sinensis) kekal nama saintifiknya, tetapi Malaysia nobatkan sebagai bunga kebangsaan.


"Jadi, Rafflesia kekal nama saintifik tapi kita boleh beri nama gelaran tempatan seperti Bunga Pakma Nusantara atau seumpamanya," kata beliau dalam satu kenyataan.


Namun isu utama melingkari bunga Rafflesia yang juga tumbuh di hutan Kelantan tempat Wan Fayshal berkhidmat, adalah kemusnahan habitat asal tumbuhan itu akibat pembalakan dan pembersihan untuk projek tanaman 'ladang hutan'.


Oleh itu, Syam Ghaz tertanya tanya mengapakah Wan Fayshal tidak memperjuangkan isu berkenaan kerana tiada guna nama ditukar andainya bunga tersebut pupus.

Orang Asli membuat sekatan menghalang pembalak menceroboh merosakkan hutan Kelantan
Orang Asli membuat sekatan menghalang pembalak menceroboh merosakkan hutan Kelantan

"Hari itu bunga Rafflesia kena sodok dengan pembalak Kelantan di Hutan Simpan Kekal di Gua Musang dan Jeli, Kelantan.


"Pasukan kami dan Orang Asli lah yang bangkitkan isu kemusnahan flora fauna ini. Masa tu YB-YB Pas tak kisah pun.


"Terkini pada 14 Ogos 2025 komuniti kampung kampung di Pos Simpor Gua Musang Kelantan buat sekatan balak (kerana) pencerobohan berlaku di kampung Orang Asli. Ini isu rakyat, tak ada pun wakil rakyat bersuara di Parlimen. ‘Tunggul kayu’ je semua.


"Habitat Pakma di Lojing, Gua Musang dan sekitar sudah banyak rosak anggara (kerajaan) Pas Kelantan. Keterancaman dan kepupusan kerana pembalakan tebang habis atau ‘cuci mangkuk’ yang diamalkan," ujarnya.


Selain itu, Syam Ghaz juga mempertikaikan mengenai kemusnahan hutan di parlimen Kuala Krai berhampiran kawasan Wan Fayshal.


Justeru, beliau mencabar Ahli Parlimen muda itu berdebat mengenainya.

Wan Fayshal cadang tukar nama Rafflesia
Wan Fayshal cadang tukar nama Rafflesia

Sebelum itu, Syam Ghaz membidas Wan Fayshal kerana berani menyindir pakar taksonomi tumbuhan Prof Emeritus Dr Abdul Latif Mohamad yang mengkritik idea beliau untuk menukar nama bunga Rafflesia yang dibangkitkan dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru baru ini.


Katanya, Prof Latif merupakan pakar taksonomi tumbuhan Malaysia dan juga rujukan serantau. Beliau menghabiskan puluhan tahun mengkaji biodiversiti, menulis ratusan makalah saintifik, dan menyelia konservasi flora endemik.


Jadi, katanya, pandangan beliau adalah pandangan ahli profesional yang harus dihormati.


Untuk rekod, bunga Rafflesia telah diklasifikasikan secara rasmi oleh Robert Brown pada tahun 1821, dan nama itu diabadikan sempena Sir Stamford Raffles serta Dr Joseph Arnold yang menemuinya di Bengkulu.


Bunga berkenaan ditemui di hutan Kelantan, Terengganu, Pahang dan beberapa kawasan yang belum banyak disentuh tangan manusia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page