Sanusi sibuk main politik punca projek lapangan terbang KXP gagal?
- Suara Keadilan

- Jul 21, 2023
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bukan gagal akibat disabotaj oleh Kerajaan Persekutuan sebagaimana didakwa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor, tetapi menurut ADUN Suka Menanti adalah akibat MB tersebut terlalu sibuk bermain politik
Bagi Datuk Zamri Yusuf, sekiranya Sanusi serius untuk membina lapangan terbang kargo KXP berkenaan maka beliau tentunya telah bersungguh sungguh memahami pra-syarat permohonan pembinaannya dan mencari konsultan yang benar benar layak membina projek bernilai RM7 bilion itu.
Namun, kata Zamri, Sanusi seolah olah masih tidak mempunyai pembiaya berpotensi apabila Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli memintanya menyerahkan dokumen lengkap projek berkenaan untuk diteliti oleh Kementerian Ekonomi pada dua minggu lalu.
Sehingga ke hari ini, tiada tanda tanda Kerajaan Negeri telah menyerahkan dokumen berkenaan.
"Beliau (Sanusi) sibuk main politik, dan sekadar taklimat demi taklimat setiap (kali) kami berjumpa Menteri dengan Perdana Menteri.
"Walhal beliau perlu pastikan konsultan yang bertauliah dan berkemahiran menjalankan kajian terperinci dan lengkap, serta memenuhi keperluan pra syarat sebelum membuat permohonan.
"Kegagalan untuk follow through pra syarat adalah bukti jelas Sanusi gagal dalam urustadbir Kerajaan Negeri Kedah," katanya ketika dihubungi.
Pada 9 Julai lalu, Rafizi Ramli meminta Kerajaan Negeri Kedah memberikan dokumen menyeluruh mengenai pembiayaan projek KXP yang dikatakan mahu dibina oleh sektor swasta dalam majlis libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas yang turut dihadiri Sanusi.
Rafizi antara lain menyambut baik cadangan tersebut jika mempunyai aspek kewangan yang kukuh.
Namun Ahli Parlimen Pandan itu juga mengakui, projek pembinaan infrastruktur yang dibiayai swasta di negara ini lazimnya tidak berdaya maju dan akan mengalami masalah kewangan dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, pada 1 Julai lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, hasil dapatan konsultan National Airports Strategic Plan (NASP) mendapati tiada keperluan untuk sebuah lapangan terbang baharu dilaksanakan di Kulim kerana fasiliti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masih mampu mengendalikan permintaan perkhidmatan kargo dan penumpang.
Jelasnya, cadangan pembinaan KXP sebaliknya boleh dipertimbangkan selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum 20 juta penumpang setahun (MPPA) yang diunjurkan pada 2042, selain menegaskan tiada sebarang cadangan penyertaan swasta mampu biaya kos projek KXP.




Comments