Siasatan terperinci perlu susulan kebakaran di kawasan industri Samalaju
- Suara Keadilan
- Aug 17, 2024
- 1 min read

Siasatan terperinci dan menyeluruh perlu dilakukan susulan kebakaran yang mengeluarkan letusan bola api di sebuah kilang milik pelabur asing di Taman Perindustrian Samalaju, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, Bintulu kelmarin.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, kebakaran yang dilaporkan berpunca daripada tangki 'bottom reactor' itu amat mengejutkan dan turut menimbulkan banyak pertanyaan dalam kalangan warga maya apabila video letupan tersebar di internet.

"Kebakaran ini menimbulkan banyak pertanyaan dari kalangan semua pihak termasuk KEADILAN Sarawak.
"Oleh itu, suatu siasatan yang terperinci dan telus mesti dijalankan segera oleh pihak berkuasa. Punca kebakaran perlu dikenalpasti supaya langkah - langkah awal boleh diambil untuk mengelakkan kebakaran seperti ini berulang.
"Bukan sahaja kerugian pada industri yang diambilkira, faktor lain yang perlu diambilkira juga ialah pelesenan industri, sistem penjanaan kuasa, pekerjaan, pencegahan pencemaran alam sekitar, kesan pada kesihatan penduduk berdekatan dan kesan pada persepsi umum tentang keselamatan industri di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.
Roland Engan berkata, pihak berkuasa selepas ini setelah siasatan selesai perlu mengumumkan hasil siasatan terperinci dan telus itu pada forum yang sesuai.
Untuk rekod, kebakaran di kawasan industri Samalaju tersebut telah menyebabkan 10 pekerja cedera termasuk empat mengalami kecederaan melecur tubuh.
Bebakaran tersebut berjaya dikawal pada jam 7 malam dan pihak bomba berada di lokasi sehingga sekitar jam 10.30 malam.
Comments