
Siasatan dijalankan pihak berkuasa terhadap Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu kedaulatan Pulau Pinang yang didakwa milik Kedah bukan berunsur politik.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan berkenaan dilaksanakan berdasarkan prinsip profesional dan beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
"Apabila suatu kenyataan yang dianggap sebagai boleh menimbulkan keresahan dibiarkan tanpa tindakan. Kerajaan dilihat tidak ada gigi, tidak berani ambil tindakan sedangkan rakyat resah.
"Apabila polis bertindak, ada menuduh ambil tindakan disebabkan politik.
"Jadi (untuk waktu sekarang), biar mereka buat kerja dulu, kita tidak perlu komen (tindakan ini) dendam politik, tidak timbul benda itu," katanya.
Saifuddin berkata begitu kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas mengadakan lawatan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ke tapak projek Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi di Pokok Sena, Kedah pada Sabtu.
Sementara itu beliau menegaskan, mana-mana pihak tidak seharusnya membuat sebarang andaian sebaliknya menunggu sehingga proses siasatan selesai sehingga peringkat seterusnya.
Jelas beliau, polis akan menyerahkan perkara tersebut kepada Peguam Negara selepas siasatan terhadap isu terbabit selesai.
"Jikalau Peguam Negara kata ya (hasil siasatan) itu dianggap mencukupi barulah proses pendakwaan dilaksanakan. Jikalau tidak cukup, Peguam Negara akan hantar balik kepada polis," tambahnya.
Difahamkan Sanusi disiasat susulan kenyataan Pulau Pinang milik Kedah, selain dakwaan menuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda.
Pengarah Pilihanraya Pas itu kemudian dilihat cuba menafikan kenyataannya berhubung pindaan itu bagi menyokong dakwaannya Pulau Pinang milik Kedah.
"Berpegang pada satu kenyataan sahajalah. Ada kata atau tidak. Kemudian biar polis siasat," katanya Saifuddin menempelak sikap Sanusi terbabit.