
Siasatan dan sitaan aset ke atas bekas menteri kanan era pentadbiran Perdana Menteri Tun Mahathir yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru baru ini telah mengikut tatakelola atau prosedur yang betul.
Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob menolak sebarang keraguan yang cuba ditimbulkan oleh laskar siber pro pembangkang dan menegaskan SPRM telah pun memberi tempoh yang cukup panjang untuk Tun Daim Zainuddin mengisytiharkan asetnya yang dipersoalkan oleh badan pencegahan rasuah itu.
"Jawapan balas SPRM mengatakan bahawa pertuduhan terhadap Tun Daim itu, siasatan bermula pada Februari (2023) lagi dan tiada sebarang campurtangan politik terhadap siasatan terhadap (siasatan) Daim.
"Bagi saya ini membuktikan Kerajaan Perpaduan memang mengikut tatakelola yang betul dan tiada sebarang campurtangan dalam siasatan SPRM. Ini satu bukti yang kuat," katanya.

Ahmad Nadhir menyelar pembangkang yang menuduh Kerajaan Perpaduan cuba melakukan pendakwaan berniat jahat terhadap Daim kerana sebarang siasatan yang dijalankan mengikut prosedur seharusnya dihormati.
Siasatan serta pertuduhan, kata beliau, boleh dibicarakan seadil adilnya di mahkamah.
"Pembangkang sepatutnya menghormati siasatan yang berlaku dan tidak perlu menuduh dengan tuduhan bukan bukan, beri peluang SPRM untuk siasat. Itu yang penting.
"Saya nampak kita perlukan satu naratif, tonjolkan bahawa Kerajaan Madani sekarang ikut tatakelola betul, dan tiada campurtangan terhadap sebarang siasatan berkaitan salah laku, salah guna kuasa atau rasuah," katanya lagi.
SPRM dalam kenyataan kelmarin berkata siasatan terhadap Daim sudah dimulakan sejak Februari lalu dan menafikan ianya dilakukan dengan motif tertentu.
Kata kenyataan itu, satu notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Daim untuk mengisytiharkan segala aset sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis, serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu.
"Tun Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai; 10 Ogos; 11 September; 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menjelaskan sebagai sebahagian daripada proses siasatan, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.
Tun Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Comments