Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas aplikasi MySejahtera yang merekodkan kesihatan penduduk Malaysia dan mendapati tiada jaminan ke atas keselamatan data peribadi dikumpulkan oleh aplikasi itu meresahkan banyak pihak.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik kecuaian kerajaan, memetik pengakuan Ketua PAC bahawa terdapat kekeliruan tentang bagaimana data rakyat Malaysia dikumpul sejak dua tahun lalu.
Katanya, laporan itu ternyata merobek keyakinan rakyat terhadap menteri yang bertanggungjawab.
"Namun kini yang menjadi persoalan penting adalah status data-data peribadi pengguna, keselamatan negara dan juga reputasi menteri berkenaan.
"Siasatan yang dijalankan PAC setakat ini, beserta hasil siasatan dan kajian saya sendiri membuktikan kerajaan bukan hanya tidak mempedulikan aspek ketelusan dan memiliknegarakan aplikasi MySejahtera melalui pembangunan, tetapi kerajaan turut membenarkan individu-individu yang dekat dengan pundak kuasa untuk mengaut laba dan keuntungan.
"Kita sedia maklum aplikasi ini adalah langkah yang sangat diperlukan sebagai usaha negara dalam mengekang perebakan wabak yang kini meragut lebih 35,500 nyawa, dan ini melibatkan data peribadi lebih 38 juta warga. Yang lebih merungsingkan adalah data-data peribadi tersebut kini terdedah kepada entiti asing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu kesal kerana sebelum ini rakyat seolah-olah dikelirukan dengan jaminan menteri berkaitan server di mana data MySejahtera itu disimpan dan diperkirakan selamat.
Katanya, kini terbukti tanpa kontrak dan perjanjian yang jelas, janji menteri tentang perjanjian kerahsiaan (NDA) tidak memberi sebarang makna yang munasabah.
"Apa yang mustahak sekarang adalah kerajaan mesti membuktikan data-data tersebut telah dan akan terus disimpan oleh server-server kerajaan sahaja.
"Pengumpulan data oleh mana-mana organisasi atau kerajaan tanpa objektif yang jelas hanya mendedahkan data-data tersebut untuk disalahguna, dan ini membuktikan sikap sambil lewa di pihak pengumpul data.
"Saya menggesa menteri untuk membuktikan data-data peribadi rakyat Malaysia tidak terdedah kepada kepentingan dan tangan-tangan gelap, samada di dalam mahupun di luar negara.
"Pemerintah mesti melakukan sedaya upaya untuk mengelakkan sebarang kecuaian, dan dalam masa sama mesti mengukuhkan pendirian bahawa data-data tersebut milik rakyat dan bukan kerajaan. Kementerian Kesihatan (KKM) juga mesti membenarkan audit dan data forensik dijalankan," katanya.
Sehubungan itu, Anwar berharap PAC terus menjalankan siasatan terperinci terhadap perkara berkenaan, termasuk memanggil entiti-entiti swasta yang terlibat dalam pembangunan dan pengurusan data juga pakar-pakar teknikal untuk menjejaki di manakah sebenarnya lokasi server yang menyimpan data-data peribadi rakyat Malaysia berkenaan.
"PAC juga mesti menyiasat mekanisme runding terus yang digunapakai dalam membangunkan aplikasi MySejahtera agar kesan negatifnya dapat ditampan di masa hadapan.
"Sebagai negara yang pernah dijajah, kita mesti tidak harus berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk penjajahan," katanya lagi.
Selain itu, tegas Pengerusi Pakatan Harapan itu, Kerajaan mesti segera menghentikan pengumpulan data dari aplikasi MySejahtera sehingga mereka dapat memberikan jaminan ke atas tahap perlindungannya.
Comments