
Pembangkang menggesa siasatan menyeluruh ke atas skandal pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tetapi sehingga kini apa yang berlaku pihak yang melaporkan pula disiasat.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Md Ysahrudin Kusni, kontroversi melanda Azam dan SPRM tidak boleh diselesaikan melalui siasatan biasa atau membiarkan Azam membuat kenyataan nasib beliau hanya boleh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, bukan pihak pihak lain yang mendesaknya bercuti atau meletak jawatan.
"Selepas dua hari serahan memorandum oleh Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia di hadapan bangunan SPRM pada Isnin lalu, Azam Baki memberi reaksi mengatakan tidak akan meletakkan jawatan, dan memetik Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan nasibnya.
"Rentetan isu ini, pimpinan AMK Malaysia pula dipanggil untuk memberi keterangan malah lebih menghairankan beberapa Ahli Parlimen dari KEADILAN yang menyaksikan serahan memorandum AMK itu juga dipanggil sama. Yang melaporkan disoalsiasat, yang dilaporkan 'ditemubual'.
"Azam Sudah mengaku ada urusniaga akaun sendiri, dengan alasan adik beliau menggunakannya dengan nilai yang sedikit. Adakah alasan sebegini mudah diterima akal dan mahu pula menyaman (pendedah maklumat)?" tanya Ysahrudin.
Oleh itu, ADUN Bukit Naning berkata, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi menentukan apakah terdapat salah laku atau tidak dalam kes Azam Baki dan apakah tindakan seterusnya ke atas beliau.
"Sehubungan ini, kita mendesak agar segera dilakukan siasatan menyeluruh. Usah berselindung dengan pelbagai drama dan dalil kerana ia melibatkan soal integriti dan institusi yang dipandang tinggi, apatah lagi kedudukan beliau selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya.
Menurut beliau lagi, rakyat telah letih mengikuti siri soal jawab antara kumpulan yang membela Azam dan penentangnya.
Sekiranya suatu tuduhan salah laku pun sukar dicari kata putus untuk diadakan siasatan menyeluruh maka apatah lagi skandal yang melibatkan pemimpin utama politik, yang mungkin lebih sukar untuk disiasat, tempelak Ysahrudin.