![](https://static.wixstatic.com/media/02245c_74d1ee591d044a2e9902d1c59410d52f~mv2.jpg/v1/fill/w_600,h_450,al_c,q_80,enc_auto/02245c_74d1ee591d044a2e9902d1c59410d52f~mv2.jpg)
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak polis supaya melakukan siasatan segera terhadap ugutan rogol dan bunuh terhadap dua ADUN wanita di media sosial.
Malah, dua ADUN tersebut iaitu ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei turut dilemparkan dengan kata-kata berbaur perkauman dan mereka bertindak membuat laporan polis.
"Bersama mengecam gangguan seksual ke atas ADUN Bandar Utama YB Jamaliah Jamaluddin dan ADUN Kampung Tunku YB Lim Yi Wei seperti yang dilaporkan. Menggesa siasatan segera dijalankan oleh pihak berkuasa," kata Anwar di Twitter.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menyelar perbuatan tersebut yang dianggap tidak mencerminkan budaya masyarakat negara ini.
"Saya mengecam gangguan seksual ke atas Jamaliah,ADUN Bandar Utama & Yi Wei, ADUN Kampung Tunku. Sebarang bentuk gangguan seksual adalah tindakan jenayah yg tak patut dipandang remeh & dibiar jadi budaya masyarakat kita. Saya harap pihak berkuasa akan ambil tindakan sewajarnya," katanya di Twitter.
Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said dari blok Perikatan Nasional juga tidak ketinggalan dalam mengkritik perbuatan yang disifatkannya sebagai pengecut.
"Cukuplah.. enough is enough.. dah masuk tahun 2020, only cowards Baling Batu Sembunyi Tangan," katanya di Twitter.
コメント