
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menggesa kerajaan menyiasat Pandora Papers bagi mengenal pasti sama ada mereka yang mempunyai akaun pesisir luar sudah membayar cukai hasil negara.
Beliau berkata, kerajaan perlu sedar bahawa negara memerlukan dana yang besar untuk memperuntukkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
"Kita telah mendengar RMK12 memerlukan sejumlah dana besar RM400 bilion, jadi di mana kita nak dapat wang sebanyak itu, tidaklah semua dapat secara berhutang.
"Ertinya sistem cukai perlu diperbaiki, kalau perlu dipinda, pindalah, kerana ia memberi hasil kepada negara.
"Jadi dalam hal ini, ada keperluan kerajaan untuk jangka panjang memikirkan sudah sampai masanya sistem cukai capital gains tax diperkenalkan, juga cukai berkenaan harta pusaka.
"Maknanya dalam keadaan negara susah, ramai susah, orang kaya sama sama membantu rakyat yang miskin untuk dibela oleh kerajaan dan negara," katanya ketika membahaskan mengenai Rang Undang-Undang Meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa di Parlimen.
Justeru, beliau menyarankan supaya individu yang mempunyai akaun pesisir luar berkongsi kekayaan dengan semua rakyat di negara ini.
"Dalam hal ini, kita mendengar pendedahan Pandora Papers melibatkan sejumlah wang yang besar yang dikumpul dan dihimpun oleh rakyat kita di pusat-pusat kewangan pesisir luar yang dikecualikan dari cukai termasuk di Singapura, British Virgin Islands dan beberapa lagi.
"Maklumat ini bukan surat layang, jadi saya mohon agensi kerajaan seperti LHDN, PDRM dan SPRM, Kastam ambil serius tentang Pandora, siasat perkara ini, ini bukan surat layang.
"Ada ramai dari tempoh 2004 hingga 2014, seramai 1,500 terlibat membuka akaun saham modal di pusat pesisir luar ini, jumlah terhimpun amat menakutkan, adalah sebanyak RM1.8 trilion.
"Jadi siasat betul atau tidak, dalam jumlah itu mungkin ada yang tidak melanggar peraturan negara, mungkin ada yang melanggar, yang melanggar itu bolehlah agensi kerajaan mengambil tindakan undang-undang yang sepatutnya manakala bagi mereka yang tidak melanggar tetapi menghimpun kekayaan dan mendapat keuntungan besar, elok juga dilibatkan supaya mereka bayar cukai kepada negara.
"Sebab kekayaan mereka datang dari bumi Malaysia, maka sama-samalah berkongsi keuntungan itu dengan rakyat lain," katanya.