top of page

Siasat Najib adakah dilayan seperti banduan atau VIP? - Shamsul Iskandar



Kenyataan Jabatan Penjara Malaysia bahawa bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan Najib Razak telah dipindahkan dari Penjara Kajang ke Hospital Rehabilitasi Cheras dengan alasan sakit, memerlukan siasatan lanjut dilakukan oleh kerajaan sama ada perintah mahkamah telah benar benar dilaksanakan ke atas banduan berkenaan.


Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Jabatan Peguam Negara wajar menyiasat dakwaan yang tular di media sosial bahawa Najib dilayan seperti VIP dan bercanggah dengan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas beliau.


"Apakah Najib Razak seorang banduan yang sepatutnya menjalani hukuman di Penjara Kajang masih tetap dilayan seperti seorang VIP serta segala kehendak dan kemahuan beliau sedang dituruti?


"Semua wang yang diperuntukkan untuk keselesaan Najib adalah dari wang rakyat. Rakyat mahu lihat seorang banduan menjalani hukuman yang setimpal atas kesalahan yang telah dilakukan, bukannya menggunakan lagi wang rakyat hanya untuk memanjakan Najib yang sepatutnya dipenjara.


"Saya mendesak Jabatan Peguam Negara menyiasat serta mendapatkan penjelasan dari Jabatan Penjara Malaysia apakah Najib sedang benar-benar menjalani hukuman penjara seperti yang sepatutnya oleh seorang banduan yang telah didapati bersalah ataupun sekadar berlakon sakit tenat sedangkan hakikatnya beliau cuba mempermain-mainkan dan memperlekeh penguatkuasaan undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan.


Tegas Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN itu lagi, kerajaan perlu menjelaskan kedudukan Najib ketika ini kerana beberapa dakwaan berbentuk kronologi yang tular di media sosial sebelum banduan itu dibawa ke Hospital Rehabilitasi Cheras seolah olah secocok dan sejalan dengan peristiwa yang berlaku


"Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial sebuah mesej panjang yang membongkar cerita Najib Razak yang dijatuhi hukuman dan sepatutnya menjalani hukuman di Penjara Kajang menggunakan pelbagai helah licik antaranya dengan alasan sakit semata-mata mahu keluar dari penjara dan duduk bersenang-senang di hospital supaya dapat bertemu keluarga termasuk berjumpa sekutu beliau bagi merancang pelbagai rencana politik.


"Mesej tersebut juga menyatakan nama samaran untuk Najib adalah “Merpati” telah bermesyuarat dengan pelbagai orang-orang penting dari kerajaan di bilik farmasi klinik penjara.


"Hasilnya Jabatan Penjara dikatakan mendapat peruntukan segera untuk menaiktaraf bilik penjara Najib. Tidak berpuas hati dengan naik taraf itu Najib juga dikatakan berpura-pura sakit lalu mendapat rawatan di Wad Di-Raja Hospital Kuala Lumpur.


"Sementara beliau berulang-alik antara Hospital dan Mahkamah, persediaan sedang dibuat di Hospital Rehabilitasi Cheras bagi menempatkan Najib di sana.


"Saya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin serta Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk memberi maklumbalas dan penjelasan adakah benar perkara yang ditularkan oleh mesej berkenaan sedang berlaku?" tanyanya.


Shamsul juga mahu kerajaan mendedahkan dakwaan sama ada terdapat peruntukan sebanyak RM50,000 untuk menaik taraf bilik penjara Najib dan kemudiannya tambahan sebanyak RM3.5 juta lagi dari KDN bagi urusan kenderaan, kesihatan dan penempatan beliau.


"Saya merayu agar rakyat tidak diperbodohkan dan wajar dimaklumkan perkara sebenar dengan segera kerana keadilan haruslah ditegakkan dan tidak mengenal siapa sahaja.


"Setiap pesalah harus menjalani hukuman seperti yang telah ditetapkan. Jangan nanti sampai rakyat membilang berapa hari sebenarnya Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang dan berapa hari pula bersenang lenang dengan katil empuk di bilik hospital yang diubah suai bagi memuaskan kehendak nafsu mewah beliau," kata Shamsul lagi.




0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page