Siasat kartel PDRM segera - PH
- Omar Zin
- Mar 23, 2021
- 1 min read

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa supaya Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin agar kewujudan ‘kartel’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) disiasat segera.
Dalam kenyataan bersama antara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (KEADILAN), Datuk Wira Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Anthony Loke Siew Fook (DAP) berkata PH mengambil serius laporan-laporan media yang memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai berkata wujudnya ‘kartel’ dalam kalangan pegawai yang berniat menjatuhkan beliau dengan tujuan meneruskan kerja-kerja kotor serta adanya budaya ‘ambil duit’ dalam pasukan PDRM.
"Kenyataan-kenyataan ini amat membimbangkan kerana seakan wujudnya usaha pihak-pihak tertentu untuk menjejaskan kebebasan dan integriti PDRM, yang secara langsung akan mendatangkan kesan buruk terhadap imej, reputasi dan kewibawaan PDRM itu sendiri," katanya.
Justeru, Majlis Setiausaha PH menggesa Menteri Dalam Negeri agar kewujudan ‘kartel’ ini disiasat segera serta diambil tindakan tegas.
"Elemen-elemen ‘kartel’ ini tidak boleh dibenarkan menyusup masuk dan mengawal PDRM, kerana akhirnya ia akan menghancurkan institusi tersebut," katanya.
Comments