Siasat isu peletakan jawatan Ismail Lasim - AMK Negeri Sembilan


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan menggesa pihak berkuasa segera membuka kertas siasatan berhubung penyerahan surat peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim kepada pihak Istana.
Ketuanya, Mohamad Hamizan Mohd Bakhtiar berkata penafian Ismail semalam bahawa beliau tidak pernah bersetuju surat tersebut diserahkan menimbulkan keraguan terhadap asas pengumuman peletakan jawatan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Menurutnya, siasatan menyeluruh diperlukan bagi mengenal pasti bagaimana surat itu diserahkan serta menyiasat sekiranya wujud unsur salah laku atau cubaan memperdaya pihak Istana.
"Umno-BN juga perlu menjelaskan kepada rakyat siapakah yang mengarahkan surat tersebut dikeluarkan daripada simpanan parti dan diserahkan kepada Istana.
"Mereka harus menghentikan sikap 'baling batu sembunyi tangan' dan tidak sesekali mengheret institusi Raja-Raja Melayu ke dalam kancah perebutan kuasa dalaman.
"Selesaikan pertikaian melalui saluran parti, hormati kedudukan institusi Istana serta proses di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, dan utamakan kepentingan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kemelut politik Negeri Sembilan kembali hangat susulan kontroversi surat peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar, yang kemudiannya dinafikan beliau sendiri.
Pakar undang-undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal sebelum ini menyifatkan cubaan 'menurunkan' Menteri Besar itu sebagai tindakan tidak beradab dan tidak hormati institusi Raja Berperlembagaan.
Sementara itu, Hamizan dalam kenyataannya turut menyifatkan cara Umno-BN mengendalikan kemelut berkenaan sebagai tindakan yang menambah ketidaktentuan politik di Negeri Sembilan.
Keadaan itu tegasnya tidak sepatutnya berlaku ketika rakyat memerlukan pentadbiran negeri yang stabil dan berfungsi dengan baik.




Comments