Siasat dakwaan atas Rafizi jika ada bukti, elak hukum terburu-buru - PM
- Suara Keadilan

- 14 hours ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli perlu disiasat secara telus sekiranya terdapat bukti kukuh, namun masyarakat diingatkan supaya tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman.
Perdana Menteri berkata prinsip keadilan mesti ditegakkan secara konsisten tanpa mengira individu dan siasatan perlu dijalankan secara terbuka sebelum sebarang tindakan pendakwaan dibuat.
"Apabila ada tuduhan salah laku, kita mesti siasat dengan telus dan terbuka. Kalau ada bukti, teruskan dengan pendakwaan. Tetapi sebelum siasatan dan pendakwaan selesai, janganlah kita menghukum.
"Kita beri ruang kepada proses siasatan. Jangan sebar tuduhan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini," katanya dipetik NST Online selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat hari ini.
Menurut beliau, menjadi kebiasaan dalam negara ini apabila seseorang dituduh, masyarakat pantas membuat kesimpulan tanpa menunggu fakta sebenar.
"Itu masalah dalam negara kita, bila ada tuduhan sahaja, orang terus menghukum. Sedangkan kita belum tahu fakta sebenar," katanya.
Dakwaan berkenaan membabitkan perjanjian antara Putrajaya dan syarikat semikonduktor antarabangsa ARM bernilai RM1.1 bilion serta projek solar berkapasiti 750 megawatt oleh UEM Lestra bernilai RM2.5 bilion.
Perdana Menteri berkata, beliau mengalu-alukan sebarang aduan atau maklumat berhubung salah laku termasuk membabitkan kerajaan atau dirinya sendiri, namun ia mesti berasaskan fakta dan bukannya fitnah.
"Saya alu-alukan apa juga tuduhan, termasuk terhadap kerajaan atau diri saya sendiri. Jika ada bukti, siasat secara telus. Hanya dengan cara itu negara dapat berfungsi dengan teratur.
"Namun dalam Ramadan ini, tumpukan kepada ibadah, keampunan dan memupuk perpaduan," katanya lagi.
Sementara itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai cubaan mencemarkan reputasinya.
Menurutnya, kedua-dua projek berkenaan telah digambarkan secara salah sebagai kes rasuah, sedangkan projek pertama dimeterai ketika beliau memegang portfolio Menteri Ekonomi.









Comments