Projek River Of Live merupakan suatu projek mercu tanda era pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.
Di bawah projek berkenaan Sungai Klang dan Sungai Gombak dirancang untuk dijadikan aliran air yang bersih sehingga boleh dilakukan aktiviti rekreasi di tepian sungai berkenaan.
Bagaimanapun, menurut Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai Chen Heng, setelah sedekad projek berkenaan berjalan, hanya dana yang dilihat telah dibelanjakan tetapi projek masih tidak boleh digunakan sebagaimana dirancang.
"Sejak 13 tahun lalu, projek bercita-cita tinggi yang menelan belanja berbilion ringgit ini tidak disiapkan seperti dijadualkan dan gagal mencapai matlamat yang ditetapkan.
"Laporan audit mendedahkan kebenaran yang mengejutkan iaitu RM3.915 bilion telah dilaburkan setakat ini, tetapi kita masih menghadapi realiti projek yang belum siap dan beban kos yang meningkat," kata Andre Lai dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, visi asal projek River of Life adalah untuk mengubah Sungai Klang dan Sungai Gombak menjadi perairan yang bersih, santai di samping mencipta mercu tanda baharu di tengah kota seperti Kolam Biru.
Namun, katanya, hanya beberapa projek telah disiapkan dan kebanyakan infrastruktur yang telah siap tidak diselenggara dan diurus dengan berkesan.
"Sebagai warga Kuala Lumpur, saya rasa marah dan kecewa dengan kelewatan projek ini dan pembaziran dana. Berbilion ringgit dalam pelaburan awam sepatutnya digunakan untuk menambah baik persekitaran bandar dan meningkatkan kualiti hidup rakyat, tetapi disebabkan pengurusan dan pelaksanaan yang lemah, ia menjadi bahan ketawa di mata pembayar cukai dan pelancong.
"Laporan audit itu juga menyatakan bahawa semua sasaran kerajaan untuk projek itu tidak tercapai, termasuk meningkatkan kualiti air ke tahap IIB yang sesuai untuk kegunaan rekreasi. Ini bukan sahaja kegagalan di peringkat pengurusan, tetapi pengkhianatan amanah pembayar cukai," ujarnya.
Sehubungan itu, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan itu meminta keajaan menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengetahui kelemahan dan rasuah dalam pelaksanaan projek serta memastikan pihak yang terlibat memikul tanggungjawab undang-undang dan moral yang sepadan.
"Sebagai Ahli Lembaga Penasihat DBKL, saya menyeru kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan projek River of Life siap secepat mungkin dan menepati matlamat yang diharapkan.
"Ini bukan sahaja menghormati pembayar cukai, tetapi juga tanggungjawab terhadap kualiti hidup warga Kuala Lumpur. Kita tidak seharusnya terpedaya dengan janji dan gambar meriah di poster, tetapi tindakan sebenar dan pengurusan yang telus diperlukan untuk mengubah status quo," katanya lagi.
Bagi Andre Lai, Kuala Lumpur masa depan tidak seharusnya diwakili oleh infrastruktur yang belum siap dan dana awam yang sia-sia.
Katanya, setiap wang pembayar cukai perlu dimaksimumkan penggunaannya. Hanya dengan cara itu, kata beliau, Kuala Lumpur boleh benar-benar menjadi sebuah bandar raya bertaraf dunia dan menjadi kebanggaan setiap rakyat serta pelancong yang datang.
Comentários