'Siapa kerjasama dengan Pas pasti berpisah' - Saifuddin
- Suara Keadilan

- Jun 9
- 2 min read

Pas disifatkan hanya mengulangi corak lama politik apabila kerjasama dengan pelbagai parti kesemuanya berakhir dengan perpisahan, demikian menurut Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata keputusan terkini parti pembangkang itu menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu bukan suatu yang baharu jika dilihat daripada pengalaman lalu.
"Kita tengok kerjasama dengan Semangat 46 atau pun PH [Pakatan Rakyat] sendiri, kemudian dengan UMNO (Muafakat Nasional 1.0), kemudiannya Bersatu, semua menerima nasib yang sama (perpisahan).
"Walaupun alasannya sama iaitu penyatuan ummah, semua itu mengikut tafsiran dan sudut pandang dialah (Pas). Sebab itu saya kata, dari segi politik ini dia dinamik," katanya dipetik laporan media hari ini.
Terdahulu Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menghadiri Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, Johor.
Saifuddin berkata selepas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, Pas mungkin mencari sekutu politik lain namun siapa saja yang bergabung dengan parti itu biasanya berakhir dengan perpisahan.
"Lepas ini siapa lagi? Siapa saja yang bergabung dengan dia (PAS) berakhir dengan perceraian. Isunya talak satu, talak dua atau talak tiga," katanya.
Dalam hal ini, beliau menekankan bahawa rukun prinsip politik dalam Islam ialah tegakkan keadilan, menyeru makruf dan mencegah mungkar.
Selain itu, ia perlu mengajak kepada kebaikan, menyemaikan sifat kasih sayang dan perpaduan, ujarnya.
"Itu prinsip dalam politik Islam," tegas Saifuddin.
Semalam, media tempatan melaporkan Pas secara rasmi menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan perkara itu selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Presiden Pas Hj Hadi Awang dalam kenyataan berkata parti memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik atas prinsip penyatuan ummah.
Beliau berkata, mesyuarat memperakukan keputusan PAS meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Terdahulu ramai pemerhati politik melihat kerjasama politik Pas dan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) bakal berakhir apabila pada 22 Mei lalu Abdul Hadi secara terbuka membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap Bersatu dan mengumumkan Pas sedang menilai semula hubungan dengan parti itu.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa beberapa tindakan Bersatu tidak selari dengan semangat setia kawan dalam PN termasuk isu pengagihan kuasa dan kerjasama pilihan raya.
Sebelum krisis ini memuncak, Pas beberapa kali menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Bersatu termasuk isu kedudukan Menteri Besar Perlis selain pendirian Bersatu terhadap usaha memperluas PN melalui kemasukan parti-parti Melayu-Islam lain.




Comments