top of page

Siapa halang? - Anwar nafi sekat Onn Hafiz masuk FELDA

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengeluarkan arahan menghalang mana-mana pemimpin termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada memasuki kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).


Perdana berkata Kerajaan Negeri bebas menjalankan program yang dirancang, namun ketika tempoh berkempen pilihanraya, Kerajaan Negeri tidak seharusnya meminta bantuan atau campur tangan daripada Kerajaan Persekutuan.


"Arahan (yang dikeluarkan) Kerajaan Persekutuan layan projek Persekutuan, negeri buat kerja negeri. Buat apa riuh-riuh," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Jameatus Solehah, Dengkil, Sepang hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mempersoalkan dakwaan berhubung pihak yang didakwa menghalang Onn Hafiz, sedangkan Menteri Besar Johor itu bebas menjalankan program Kerajaan Negeri.


"Siapa yang halang? Kalau saudara ada rancangan lain, jalankan dengan baik, tidak ada masalah. Tetapi janganlah Kerajaan Negeri ketika kempen meminta Kerajaan Persekutuan membantu, tidak bolehlah," katanya.


Sebelum ini, Onn Hafiz mendakwa sambutan Hari Peneroka FELDA yang dijadualkan berlangsung pada 21 Jun lalu tidak dapat diteruskan susulan keputusan di peringkat tertinggi. Beliau turut mendakwa terdapat “tangan ghaib” yang menghalang penganjuran program berkenaan.


Susulan itu, Kerajaan Negeri Johor meneruskan Program Penyerahan Hak Milik Tanah Peneroka FELDA melibatkan 210 peneroka, namun majlis tersebut diadakan di luar kawasan FELDA.


Penyerahan berkenaan melengkapkan penyelesaian 27,639 hak milik peneroka FELDA di seluruh Johor, iaitu 99.99 peratus daripada keseluruhan peneroka di negeri itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page