Rugi RM76 juta: Kerugian UiTM sebelum Dr Maszlee jadi Menteri Pendidikan


Mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tampil menepis dakwaan kononnya RM76 juta lesap ketika beliau menerajui Kementerian Pendidikan.
Sebaliknya beliau menjelaskan, angka kerugian terbesar UiTM Holdings direkodkan pada 2017 iaitu sebelum Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 berkuasa.
Katanya, laporan menunjukkan jumlah kerugian sebelum cukai UiTM Holdings mencecah RM150 juta dalam tempoh empat tahun, masing-masing RM66 juta pada 2017, RM43 juta (2018), RM33 juta (2019) dan RM14 juta pada 2020.
"Bila saya jadi Menteri (Pendidikan)? Saya jadi Menteri dari 2018 hingga Januari 2020. Maksudnya rugi paling besar ialah RM66 juta pada 2017 berlaku sebelum saya masuk ‘Kabinet’ lagi.
"Lebih menarik lagi, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah jumpa punca sebenar RM259 juta suntikan modal dari UiTM.
"Pada tahun 2007 sampai 2018 (suntikan modal) itu dibuat (kepada UiTM Holdings) tanpa kelulusan Menteri Kewangan. Zaman bila? Bukan zaman kita (PH mentadbir)," katanya menerusi satu siaran video menepis dakwaan laskar siber pembangkang kononnya beliau terbabit menyebabkan kerugian UiTM Holdings ketika menjawat Menteri Pendidikan pada era Kerajaan PH 1.0 yang tidak mewujudkan jawatan Kementerian Pengajian Tinggi.
Menceritakan lebih lanjut, Maszlee berkata apabila dirinya menjadi Menteri Pendidikan ketika itu, beliau telah melantik mantan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tan Sri Syed Zainal Abidin untuk menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM
"UiTM Holdings di bawah beliau dan saya berikan tugas itu untuk beliau tolong selesaikan.
"Apa beliau telah dilakukan? Beliau telah melakukan transformasi dan ini telah disebutkan dalam laporan UiTM Holdings dan juga ada dalam laporan PAC.
"Apa hasilnya? Daripada (rugi) RM66 juta turun kepada RM43 juta pada 2018, kita kecilkan lagi sehingga menjadi RM33 juta pada 2019.
"Apakah semua selesai? Tak selesai lagi (dan) PAC pun kata masih terdapat kelemahan. Saya setuju PMX ingin siasat semua secara telus, siasat sebelum (zaman) saya, siasat pada zaman saya, dan siasat apa berlaku selepas saya," ujar beliau yang juga ADUN Puteri Wangsa.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang mantan pegawai pengurusan tertinggi sebuah perbadanan ditahan SPRM kerana disyaki menyalahgunakan kuasa berkaitan urusan pembayaran perbelanjaan operasi kepada beberapa syarikat yang berjumlah kira-kira RM42 juta.
Penahanan itu susulan siasatan SPRM berhubung beberapa isu yang dikaitkan dengan kerugian dialami UiTM Holdings pada 2023.
Siasatan awal SPRM mendapati, suspek dipercayai terlibat dalam urusan pembayaran berkenaan pada 2017 kepada beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya.




Comments