Henti menilai ketokohan pemimpin wanita melalui lensa gender - Loh Ker Chean


Pemimpin wanita tidak seharusnya terus dilihat sekadar sebagai wakil suara wanita, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan pendirian politik, dasar, keputusan dan tanggungjawab yang mereka pikul dalam menentukan hala tuju negara.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean (gambar) berkata, apabila seorang wanita berkecimpung dalam politik, wacana awam dan laporan media sering cenderung membaca diri golongan itu melalui beberapa lapisan identiti secara serentak termasuk sebagai seorang ibu, isteri, rupa dan latar belakang.
Sebaliknya beliau berkata, apabila seorang lelaki masuk ke dalam dunia politik, perbincangan lebih cepat tertumpu kepada kuasa, pendirian, strategi, keputusan dan prestasinya.
"Akibatnya, seorang wanita boleh duduk di meja membuat keputusan dan memegang jawatan penting, tetapi perbincangan tentang dirinya masih mudah kembali kepada persoalan seperti adakah wanita sudah cukup diberi ruang dalam politik?
"Adakah wanita cukup berani untuk memimpin? Berapa ramai wanita berada dalam barisan kepimpinan?
"Semua persoalan itu memang penting, tetapi ia bukan satu-satunya persoalan yang patut kita tanyakan.
"Kita juga patut bertanya apakah pendirian politiknya? Apakah dasar yang dibawanya? Apakah keputusan yang dibuatnya? Bagaimana beliau melaksanakan amanah yang dipikul?," kata beliau dalam satu kenyataan.
Ker Chean turut mengambil contoh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek yang turut mengambil pendirian mengenai isu pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib, kedudukan institusi Raja Berperlembagaan dan batas kuasa eksekutif dalam kemelut di Negeri Sembilan.
Katanya, Fadhlina tidak hanya bercakap soal pendidikan atau kedudukan wanita dalam politik, malah menyentuh mengenai Perlembagaan, kuasa kerajaan, institusi negara dan prinsip pentadbiran.
"Namun apabila kenyataan seperti ini datang daripada Ketua Wanita KEADILAN, ada kecenderungan untuk membingkainya terlebih dahulu sebagai suara Wanita KEADILAN.
"Sedangkan perkara yang sedang dibicarakan sebenarnya jauh lebih besar daripada identiti organisasi atau gender beliau.
"Di sinilah kita perlu mengubah cara kita membaca suara pemimpin wanita. Persoalannya bukan lagi sama ada wanita mempunyai sesuatu yang penting untuk dikatakan.
"Persoalannya ialah adakah kita bersedia mendengar mereka sebagai pemimpin politik, bukan sekadar pemimpin wanita?," tanyanya lagi.




Comments