top of page

Siapa arah MB Ismail Lasim tandatangan proklamasi? – Tengku Zafrul

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
Sep 25
1 min read
DS Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Gambar arkib
DS Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Gambar arkib

Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim perlu mendedahkan siapa yang didakwa memaksa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi penurunan takhta Yang Di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membuat gesaan itu berkata, kenyataan tujuh halaman Ismail semalam yang menyentuh mengenai adat, Perlembagaan dan bidang kuasa tidak menjawab persoalan yang masih berlegar di kalangan rakyat.


"Kenyataan tujuh halaman ini menegaskan kerajaan tidak menentukan siapa menaiki atau meninggalkan takhta dan perkara tersebut perlu melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa.


"Ia masih tidak menjelaskan perubahan pendirian Menteri Besar sendiri… Betulkah anda (Ismail) dipaksa menandatangani proklamasi pada 3 Ogos?.


"Jika benar, siapa yang memaksa anda?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.


Menerusi hantaran sama Tengku Zafrul menegaskan, dakwaan seorang Menteri Besar dipaksa menandatangani dokumen berkaitan kedudukan Raja perlu dipandang serius.


Beliau turut mempersoalkan perubahan pendirian Ismail Lasim pada 9 September lalu yang tidak konsisten dengan keputusan mesyuarat Exco yang dipengerusikan Ismail pada 15 Sept.


"Pada 9 September, Ismail berkata tandatangan pada proklamasi itu dibuat tanpa rela hati dan secara paksaan. Mesyuarat Exco dipengerusikan beliau pada 15 Sept kemudiannya mengambil pendirian proklamasi berkenaan sah dan berkuatkuasa.


"Apakah yang menyebabkan perubahan pendirian itu? Adakah anda juga dipaksa sepertimana dakwaan anda semasa menandatangani Proklamasi? Jika terdapat tekanan untuk mengubah pendirian anda, siapa yang terlibat dan siapakah yang anda temui dalam tempoh tersebut?" soalnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page