SHMMP Tahun Baharu Cina bermula Jumaat ini, 16 barangan disenaraikan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) akan dilaksana bersempena Tahun Baharu Cina berkuat kuasa 13 hingga 21 Februari ini.
Pelaksanaan skim selama sembilan hari itu meliputi empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan yang bertujuan untuk memastikan keseimbangan harga barangan keperluan serta melindungi kepentingan pengguna dan peniaga.
"Sebanyak 16 barangan dikenal pasti untuk dikawal di bawah skim berkenaan, namun jumlah barangan berbeza mengikut negeri iaitu 16 barangan di Sarawak, 15 barangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah manakala 14 barangan lagi di Wilayah Persekutuan Labuan.
"Bagi SHMMP kali ini, empat barangan baharu ditambah di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu sayur sawi pendek atau sawi Jepun, cili merah, bawang kuning besar serta bawang merah besar," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dipetik.
Terdahulu, beliau merasmikan SHMMP sempena Tahun Baharu Cina di Taman Pandan Mawar di Melaka pada Selasa.
Pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 akan dikuatkuasakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dengan harga maksimum di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak menerusi laman web rasmi KPDN.
Antara barangan keperluan disenaraikan di bawah SHMPP kali ini antaranya ialah ikan bawal putih, udang putih, bawang putih (China), kobis bulat import, lobak merah, lobak putih, ubi kentang (China), halia tua import, kepak ayam serta daging dan perut babi, selain babi hidup yang dikawal di peringkat ladang.
Armizan turut menegaskan, tempoh pelaksanaan SHMMP ditetapkan bagi mewujudkan situasi `menang-menang' agar pengguna dapat menikmati harga berpatutan manakala peniaga pula tidak terbeban dengan tempoh kawalan yang terlalu lama.
Penetapan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah serta pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pemain industri.
"Pegawai penguatkuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memastikan pematuhan peniaga, selain pendekatan pendidikan, nasihat dan amaran turut dilaksanakan.
"Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena Tahun Baharu Cina bermula 3 hingga 17 Februari menerusi penganjuran sebanyak 920 program jualan sudah dirancang di seluruh negara bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat," tambahnya.









Comments