Sharon tampil dengan enam tawaran tambahan DUN Permas
- Suara Keadilan

- 18 hours ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo, tampil dengan enam tawaran tambahan untuk rakyat di kawasan itu.
Beliau berkata, manifesto bertemakan “Permas Kita Settle” memfokuskan penyelesaian isu rakyat menerusi enam fokus utama.
"Tawaran ini bukan sekadar janji pilihanraya, sebaliknya dirangka berdasarkan keperluan sebenar masyarakat di DUN Permas. Keutamaan saya adalah menyelesaikan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat," katanya dipetik pada sidang media pada Isnin.
Tambah Sharon, tawaran tersebut dirangka berdasarkan maklum balas yang diterima hasil gerak kerja dan siri pertemuan bersama penduduk setempat sejak sebelum penamaan calon.
Tawaran pertama terkandung dalam manifesto tersebut ialah dalam tempoh 100 hari beliau akan memberi fokus kepada pelancaran platform Permas Kita Settle sebagai platform aduan rakyat secara digital, audit menyeluruh terhadap infrastruktur DUN Permas serta siri jelajah turun padang mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi rakyat.
Bagi tawaran kedua, Sharon berhasrat memperjuangkan Pelan Trafik Permas 2030 sebagai pelan jangka panjang bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius, khususnya di laluan Bandar Permas Jaya hingga ke Pasir Gudang.
Beliau turut mengumumkan cadangan penubuhan Permas Youth Hub sebagai tawaran ketiga bagi menyediakan ruang komuniti khusus untuk golongan belia menjalankan aktiviti, menganjurkan program serta mengembangkan potensi mereka.
"Tawaran keempat memberi tumpuan kepada usaha menjadikan Permas sebagai kawasan yang lebih mesra wanita dan keluarga. ia menerusi penambahbaikan kemudahan awam dengan mengambil kira keperluan wanita, ibu, bayi dan kanak-kanak, selain meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan komuniti.
"Untuk menghargai masyarakat Borneo di sekitar Permas, usaha memperkasa komuniti Sabah dan Sarawak bakal dilaksana dengan menaik taraf Pasar Borneo sebagai pusat ekonomi dan budaya, selain memperkasakan dewan komuniti sebagai pusat aktiviti masyarakat.
"Tawaran terakhir, dialog komuniti Permas sebagai platform interaksi tetap ADUN dan rakyat serta turun padang ke setiap zon dan komuniti secara berkala bagi bertemu penduduk. Pendekatan ini membolehkan setiap isu setempat dibincangkan secara terbuka sebelum penyelesaian dilaksanakan secara bersama," ujarnya.




Comments