Sewa mahal: PMX ingatkan jangan tekan peniaga bazar Ramadan
- Suara Keadilan

- Mar 26, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) mengingatkan pihak yang mengendalikan sewaan tapak bazar Ramadan tidak mengenakan caj yang mahal sehingga membebankan peniaga.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan Cukai Perkhidmatan (SST) yang dikuatkuasakan sejak 1 Mac hanya tertumpu kepada beberapa sektor dan tidak dikenakan kepada perkhidmatan tapak bazar Ramadan.
Tambahnya, faktor kenaikan itu juga berlaku apabila wujudkan ejen-ejen penyewa yang bertindak sebagai orang tengah sehingga meningkat kos sewaan tapak bazar.
"Semalam di Tambun saya ada melawat (bazar) dan mendapati kos sewa terlalu tinggi dan sebahagian diberikan kepada ejen-ejen penyewa dan pembayaran sewa itu tidak kepada majlis perbandaran jadi kos meningkat.
"Saya fikir sekiranya SST itu menyebabkan harga naik, kajian Jabatan Perangkaan hanya mencatatkan kenaikan (inflasi) 0.2% sahaja dan bazar Ramadan tidak ada kena mengena langsung dengan SST.
"Oleh itu tidak dapat dinafikan ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanya kesan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) memberi kerugian dan menyukarkan peniaga bazar Ramadan membayar kos sewa tapak.




Comments