Setpol MB Selangor pengerusikan mesyuarat khas penilaian prestasi
- Suara Keadilan
- Jun 11
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad telah mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan Kajian Prestasi Separuh Penggal terhadap lantikan politik di seluruh negeri Selangor.
Mesyuarat yang berlangsung pada Selasa itu turut melibatkan penyertaan Setiausaha Kanan dan Setiausaha Kerja kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), dan diadakan sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh integriti dan keberkesanan sistem pentadbiran.
"Agenda utama mesyuarat adalah membincangkan secara terperinci tatacara dan proses penilaian yang akan dilaksanakan terhadap pegawai-pegawai lantikan politik di bawah seliaan pemegang taruh (Stakeholder Committee - StandCo) masing-masing
"Perbincangan memberi penekanan kepada keperluan memastikan setiap proses penilaian dilaksanakan secara telus, profesional dan bersepadu dengan matlamat utama untuk menjaga kredibiliti serta integriti pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor," kata Saifuddin dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, pada 3 Jun, Saifuddin mengumumkan bahawa sesi penilaian akan dijalankan terhadap seramai 835 individu, termasuk pegawai penyelaras pusat khidmat, ketua kampung tradisi, ketua kampung baru, ketua komuniti India serta ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut beliau, objektif utama kajian ini adalah untuk memastikan setiap lantikan politik benar-benar berfungsi menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat secara berkesan.
Menurut Saifuddin, hasil penilaian akan menjadi asas kepada keputusan sama ada kontrak sedia individu terbabit ada akan disambung atau ditamatkan, selain berperanan sebagai rujukan dalam cadangan pelantikan baharu.
Langkah itu dilaksana sejajar iltizam Kerajaan Negeri Selangor dalam menegakkan prinsip kebertanggungjawaban, meritokrasi dan budaya tadbir urus yang cemerlang dalam arena perkhidmatan awam serta politik.
Comments