Setpol MB bawa aduan penduduk ke perhatian kerajaan negeri
- Suara Keadilan

- Nov 9
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Penyelaras DUN Batang Kali yang juga Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad memberi jaminan akan memberi perhatian penuh terhadap aduan penduduk berhubung aspek keselamatan pengguna jalan raya dan murid sekolah di sekitar Sungai Choh.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan telah turun padang meninjau dua lokasi berisiko di kawasan berkenaan yang memerlukan tindakan segera.
"Isu keselamatan di Simpang Tiga Sungai Choh yang melibatkan laluan keluar masuk ke arah Batang Kali menimbulkan keresahan pengguna jalan raya dan penduduk, terutama pada waktu puncak.
"Selain itu, timbul juga kerisauan berhubung keselamatan pelajar terhadap ancaman haiwan berbahaya akibat keadaan rumput yang panjang di lereng bukit berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Choh," katanya.
Tinjauan yang membincangkan pelan tindakan jangka pendek dan panjang terhadap isu dikemuka penduduk itu turut disertai wakil Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Jabatan Kerja Raya (JKR), KDEB Waste Management serta Ahli Majlis.
Sementara itu menurut Saifuddin, hasil tinjauan mendapati laluan keluar masuk di simpang tersebut memerlukan penstrukturan semula bagi mengelak kemalangan, manakala kawasan sekitar sekolah pula perlu diselenggara bagi menjamin keselamatan murid dan warga sekolah.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor turut menyatakan komitmen akan membawa aduan penduduk ke perhatian pentadbiran negeri untuk tindakan lanjut demi kepentingan komuniti setempat.
"Saya percaya, setiap isu di lapangan memerlukan perhatian yang bukan hanya teknikal, tetapi juga kemanusiaan. Di sebalik setiap aduan, ada kebimbangan dan harapan masyarakat yang mahu dilindungi," tambahnya.









Comments