Setiausaha Politik PM santuni warga emas sempena Tahun Baharu Cina
- Suara Keadilan
- 22 minutes ago
- 1 min read

Dalam kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkesempatan menyantuni warga emas di Pusat Penjagaan Orang Tua Grannies Kuantan, semalam.
Kunjungan tersebut diadakan selepas menghadiri beberapa siri program dan lawatan di sekitar Kuantan, sebagai sebahagian usaha menyemarakkan semangat kebersamaan sempena perayaan.
Menurut Farhan, kunjungan mahabbah itu meraikan seramai 30 penghuni pusat jagaan berkenaan yang menyambut kehadiran mereka dengan penuh kegembiraan.
"Kunjungan mahabbah ini meraikan seramai 30 orang penghuni pusat jagaan tersebut yang menyambut kehadiran kami dengan senyuman yang cukup bermakna," katanya dalam muat naik di media sosial.

Beliau turut menyampaikan amanat dan sumbangan kasih daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sempena sambutan Tahun Baharu Cina sebagai tanda ingatan tulus ikhlas kepada golongan warga emas di pusat tersebut.
"Di kesempatan ini, saya turut menyampaikan amanat dan sumbangan kasih daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Tahun Baharu Cina sebagai tanda ingatan tulus ikhlas beliau kepada golongan warga emas di sini," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan pusat jagaan yang komited menjaga kebajikan penghuni.
Tambah beliau, semangat perayaan harus diraikan secara inklusif agar tiada golongan yang berasa tersisih.
"Besar harapan kita agar dalam setiap perayaan yang disambut, tiada golongan yang berasa ketinggalan. Inilah semangat Malaysia MADANI yang sebenar, iaitu menjaga kemakmuran dan memperkukuh perpaduan agar keharmonian masyarakat majmuk kita kekal utuh," katanya lagi.





