Setiausaha agung ASEAN puji kepimpinan Malaysia
- Suara Keadilan
- 14 minutes ago
- 1 min read

Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn (gambar) memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan konflik sempadan Thailand–Kemboja menerusi Perjanjian Damai Kuala Lumpur, yang disokong Amerika Syarikat dan China.
Dalam ucapan pembukaan Forum Media ASEAN ke-9 di Kuala Lumpur, Kim Hourn menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil kepimpinan aktif Anwar selaku Pengerusi ASEAN, yang berjaya mendapatkan sokongan pemimpin serantau termasuk melalui pendekatan ‘diplomasi telefon’.
"Gencatan senjata itu dicapai hasil usaha Pengerusi ASEAN," kata Kim Hourn sambil turut memuji peranan Menteri Luar Negeri serta pasukan Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan dalam memeterai perjanjian tersebut.
Forum semalam menghimpunkan tokoh media kanan, pembuat dasar dan pemikir serantau bagi memperkukuh komunikasi serta penyebaran maklumat mengenai kemajuan ASEAN.
Dalam ucapannya juga, Kim Hourn memuji kejayaan Malaysia memastikan kemasukan penuh Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN pada 26 Oktober, yang menurutnya melengkapkan proses peluasan blok serantau seperti digariskan dalam Piagam ASEAN.
Selain itu, beliau yang dipetik laporan media turut menyifatkan kepengerusian Malaysia tahun ini sebagai antara yang paling dinamik dalam sejarah ASEAN apabila Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berjaya menghimpunkan pemimpin dari Asia, Eropah, Amerika dan Afrika di bawah satu platform dialog.





