Setelah sedekad Kerajaan MADANI selesai pampasan tanah Kem Syed Sirajuddin
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Lebih sedekad tertangguh, isu bayaran pampasan tanah Kem Syed Sirajuddin di Gemas Negeri Sembilan akhirnya selesai di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sekian lama itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Jumaat.
"Dalam mesyuarat Jemaah Menteri ada berita baik untuk Negeri Sembilan. Ada masalah berpanjangan, bertahun-tahun antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mengenai bayaran pampasan tanah di Gemas, berpuluh tahun dah.
"Kerajaan MADANI semalam putuskan mesti selesai. Mana patut bayar, bayar balik kepada Negeri Sembilan," katanya dipetik ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat di Dataran Nilai semalam.
Hadir sama pada acara itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Kerajaan negeri berhadapan isu bersama Kementerian Pertahanan berhubung bayaran tanah untuk Pusat Latihan Gabungan Pasukan Tempur di kem berkenaan membabitkan kawasan seluas 6,653 hektar itu membabitkan tiga lot tanah iaitu Parcel H, Parcel J dan Parcel L dengan nilai premium asal sebanyak RM2.16 bilion
Hasil perbincangan antara kedua pihak pada 2022 persetujuan dicapai untuk mengeluarkan kawasan Military Firing Ground J yang diwartakan sebagai kawasan Military Firing Ground sejak 1941 dan berkeluasan 2,737.55 hektar.
Pengecualian itu berhasil mengurangkan kadar premium perlu dibayar kerajaan Persekutuan kepada RM1.27 bilion sahaja.