Setahun tiris RM60 bilion, buat kapal RM400 juta lesap, rakyat tunggu apa lagi? - Mat Sabu


Kehidupan rakyat yang susah pada ketika ini bukan akibat negara tidak mempunyai hasil atau penduduk Malaysia tidak rajin berkerja, namun akibat hasil dicuri oleh para pemimpin durjana.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata hal ketirisan bukan lagi tohmahan atau retorik pembangkang tetapi telah dibuktikan melalui siasatan dan pendakwaan di mahkamah. Rakyat, katanya hanya perlu membuat perubahan setelah melihat kedurjaan di hadapan mata.
"Malaysia kaya, tetapi kalau bocor sampai RM60 bilion setahun apa nak jadi. Bila berpeluang jadi Menteri, tubuh jawatankuasa siasat. Jawatankuasa ini boleh buka fail, siasat apa yang dituduh selama ini. Bila siasat bukan sikit (sakau), bukan saja bocor, jerlus duit negara kita.
"Inilah bila kita pergi sekolah ada bumbung tiris, paip pecah, padang bola tak sedia dengan baik kerana duit tak ada. Setahun lebih RM60 bilion hilang dan rakyat tetap undi sebab mereka, cover dengan slogan hidup Melayu. Kita perlu Melayu terus memerintah.
"Sebab itu curi duit Tabung Haji sebab nak lawan DAP. Curi duit MARA untuk lawan DAP. Curi duit tentera untuk lawan DAP.
"Tentera pencen makanlah dengan duit yang sikit, kami perlu duit nak lawan DAP demi Melayu dan isle...," katanya disambut sorakan dalam ceramah Jelajah Harapan Negeri Perak, malam tadi.
Berceramah di hadapan pengundi Tambun yang banyak daripada kalangan veteran pasukan keselamatan, Mat Sabu mengimbau usahanya di Kementerian Pertahanan 3 tahun lalu untuk mengiktiraf jasa anggota tentera yang telah lama bersara.
Katanya, kerajaan PH jika tidak digulingkan sedang mengusahakan elaun khas kepada anggota veteran yang tidak mendapat banyak kemudahan selepas bersara.
"Tengok veteran tak kira polis atau tentera. Bila bang Mat jadi Menteri beri la juga RM500 kepada veteran terlibat lawan komunis dan konfrantasi dulu.
"Kita jumpa Menteri Kewangan berulang kali. Akhirnya boleh tolong RM500. Saya kata mana cukup. Dia kata tengok tahun depan kalau ekonomi kita baik sikit, kita beri lebih termasuk elaun. Kita nak pergi seterusnya kerajaan jatuh, anak haram jadah sungguh," sinis Mat Sabu.
Oleh itu, beliau mengingatkan banyak bantuan yang boleh diberi sekiranya dana negara tidak disakau masuk ke kocek pemimpin politik yang tamak.
Malah aset pertahanan negara juga, katanya boleh dinaiktaraf untuk mewujudkan keseimbangan kuasa di rantau Asia Tenggara.
"Kita nak kapal, kereta kebal semua ada. Ni perabih RM6 bilion kapal tak siap. Saya tanya orang yang menyiasat Tan Sri Ambrin Buang.
"Bukan aku tanya Leh Tambun, bukan tanya orang jual nasi wangey, tanya Tan Sri Ambrin. Saya kata pasai apa tak boleh siap kapai. Nak siap macam mana YB, RM400 juta dibayar ke satu syarikat yang tak ada kena mengena dengan buat kapal.
"Duit tentera pun sanggup mereka curi, tambah duit kamu semua," katanya.
Untuk membuat perubahan, kata Mat Sabu, tidak lain Datuk Seri Anwar wajib dinobatkan sebagai Perdana Menteri (PM).
Namun katanya, sekiranya penyokong tidak bekerja keras memenangkan kerusi kerusi Parlimen maka sampai bila pun Datuk Seri Anwar setakat 'layak sebagai PM' dan orang lain yang tidak cerdik diangkat sebagai PM.
"Anwar selalu cakap yang miskin terus papa yang kaya terus kaya. Saya yakin dia akan buat (perubahan sosio ekonomi). Tapi nak buat macam mana kalau tak jadi PM? Orang kata Anwar cakap saja.... Saya pun bercakap memang tak boleh buat (tidak ada kuasa), cuba letak Menteri balik, aku boleh buat.
"La ni kita bersyarah la. Selalu orang sebut Anwar layak, dia seorang pemimpin terkenal di peringkat antarabangsa, di Unseco di semua tempat. Dia terkenal tetapi kalau (PH) menang tak cukup kerusi, dok hebat gitu saja la.
"Tetapi kalau 19 Nov, pukul 1 pagi kita PH capai 112 kerusi maka pukul 10 pagi esoknya Datuk Seri akan diambil untuk pergi angkat sumpah di hadapan Agong sebagai PM.
"Tetapi kita kena menang di Tambun dulu, di Parit, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Bukit Gantang, di Taiping. Faham ke dak?
"Mail Sabri tu layak ke jadi PM? Tapi dia cukup bilang layaklah dia jadi PM," katanya lagi.




Comments