Oleh: Helmi Mohd Foad
Setahun Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri ke 10 (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir, ekonomi negara dilihat berjaya berkembang dengan baik meskipun dalam keadaan suasana ekonomi global yang agak perlahan.
Penganalisis Sosio Politik Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, keadaan tersebut mendorong beberapa Ahli Parlimen (MP) pembangkang sendiri percaya dengan halatuju yang dibawa sehingga akhirnya memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.
"Ahli Parlimen pembangkang melihat Kerajaan Perpaduan berada pada landasan yang betul, sebab itu mereka zahirkan sokongan.
"Saya tidak dapat bayangkan sekiranya ekonomi teruk berterusan, inflasi tinggi, kadar pengangguran tinggi, saya kira pembangkang pun tidak akan sokong kerajaan (PMX)," katanya dalam program diskusi bertajuk: 'Anwar Setahun' terbitan Sumberkini, baru baru ini.
Turut menjadi ahli panel ialah Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dari Parti Amanah Negara (AMANAH).
Tambah Awang Azman, sepanjang tempoh setahun ini tidak kedengaran orang mengangkat bendera putih atau berlaku kes bunuh diri akibat kesempitan hidup seperti terjadi ketika PN memerintah sebelum ini.
Katanya, inflasi rendah sepanjang setahun juga merupakan mercu kejayaan polisi ekonomi PMX.
"Walaupun ekonomi global memberikan impak besar dan menyebabkan mata wang asing menjadi tinggi (berbanding ringgit), tapi sekarang mata wang kita makin kukuh (kecuali ke atas dolar Amerika Syarikat).
"Pentunjuk kadar inflasi juga rendah dibandingkan dengan Turki hingga 50 peratus, kita dalam lingkungan 2 peratus, 1.8 peratus," katanya.
Jelas beliau, dalam setahun PMX berkuasa rakyat mempunyai pengharapan yang lebih baik. Begitu juga dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu akibat peperangan dan kenaikan harga bahan makanan serta perubahan iklim, pencapaian Malaysia boleh dianggap amat baik.
"Pandangan ini kita boleh sanggah dari pelbagai segi, tapi dari segi apa nak kritik? Kita perlu berikan keadilan. Kalau nak lihat sisi negatif boleh saja tapi kena lihat asas sesuatu yang menjanjikan permulihan dan berikan harapan kepada rakyat," ujarnya.
Comentarios