top of page

Sesuaikah Dilaksanakan Pilihan Raya PBT Pasca PRU 15?



Oleh: Lai Chen Heng (Andre Lai)


ULASAN: Ramai yang tidak mengetahui bahawa satu ketika dahulu di 1950 dan 1960-an, Malaysia pernah melaksanakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tidak lagi dilaksanakan sejak Kerajaan Persekutuan menggantung perlaksanaannya melalui undang-undang darurat pada tahun 1965. Semenjak 2008, terdapat usaha daripada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat pada ketika itu untuk mengusahakan pilihan raya tempatan namun usaha tidak dapat direalisasikan tanpa iltizam dari Kerajaan Persekutuan.


Menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), ahli PBT adalah dilantik oleh pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa pula dipimpin oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri. Melalui tafsiran ini, ahli majlis boleh disyorkan oleh parti politik masing-masing melalui penyelarasan oleh PBT seperti diamalkan hari ini.


Namun, gesaan untuk mengadakan pilihanraya didorong untuk memperkasakan semangat amalan demokrasi. Tujuan pilihanraya, adalah untuk memberikan hak kepada pengundi untuk menentukan wakil mereka yang dipilih melalui proses pengundian untuk menguruskan kawasan mereka. Dengan mengadakan pilihan raya PBT, hasrat kelihatan jelas kerana ia datang dari suara rakyat sendiri.


Pentadbiran telus, golongan profesional terlibat


Antara sebab pilihan raya PBT menjadi keutaman sekarang kerana didorong oleh isu dakwaan salah kuasa berlaku di pihak berkuasa tempatan. Jawatan ahli majlis pada satu ketika dahulu, ura-ura dianggap sebagai ganjaran daripada parti-parti politik kepada mereka yang setia dengan parti. Mungkin ia mitos, tetapi banyak kelemahan berlaku berpunca daripada ahli-ahli majlis yang dilantik oleh Kerajaan Negeri di bawah pengaruh parti-parti politik. Mereka biasanya tidak mempunyai set kemahiran dan bakat dalam pengurusan komuniti tempatan.

Andre Lai

Meskipun keadaan banyak berubah, terutamanya negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (sebelum itu Pakatan Rakyat), namun dorongan pilihan raya PBT juga datang daripada gesaan ‘institutional reform’ di kerajaan baru ini.


Dengan adanya pilihan raya tempatan, ruang diberi kepada semua untuk melibatkan diri dalam usaha meningkatkan kecekapan jentera kerajaan tempatan. Golongan profesional bukan dari parti politik juga boleh bertanding dan sekiranya menang, mampu memberi penambahbaikan PBT melalui pengalaman masing-masing.


Pentadbiran PBT dapat dilaksanakan dengan penuh ketelusan. Demokrasi dapat dipulih dan dilaksanakan kerana rakyat dapat memantau siapa dan bagaimana rakyat ditadbir. Misalnya, perbelanjaan tahunan PBT dapat dipantau dengan lebih efektif kerana mereka diberi mandat oleh pengundi.


Persaingan sesama ahli majlis lebih baik dan masing-masing berlumba-lumba meningkatkan prestasi, terutamanya di ibu negara Kuala Lumpur sebagai sebuah metropolitan antarabangsa yang sentiasa menjadi tumpuan.


Ringankan beban wakil rakyat


Yang anehnya, rata-rata rakyat Malaysia yang masih mempunyai tanggapan bahawa wakil rakyat berperanan dalam memberi sumbangan asnaf atau mengendali isu infrastruktur tempatan seperti jalan rosak dan longkang tersumbat.

Kerja kerja senggaraan PBT perlu lebih cekap

Tanggapan ini hasil daripada sejarah wakil rakyat pembangkang yang dahulunya tidak diberi peranan dalam Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri. Oleh kerana itu, mereka terpaksa menampilkan imej kekal relevan dengan melakukan tugasan sekunder seperti itu.


Kegiatan-kegiatan ini banyak menghabis masa yang patut dimanfaatkan sepenuhnya untuk memenuhi tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Selain daripada itu, hasil daripada penambahan pengundi yang didaftar secara otomatik, jumlah pengundi melonjak tinggi sehingga mencecah ratusan ribu setiap Parlimen. Oleh itu, agak mustahil bagi seorang Ahli Parlimen di Kuala Lumpur untuk berkhidmat dengan efektif dengan nisbah perwakilan yang tidak seimbang tanpa adanya pasukan ahli majlis yang berkesan.


Dengan adanya ahli-ahli majlis yang berkesan, wakil rakyat boleh menumpukan sepenuh perhatian dalam kerja melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan yang termasuk pembahasan dasar-dasar kerajaan, serta memantau perlaksanaan polisi kerajaan dengan berkesan.


Selesai masalah perwakilan di Wilayah Persekutuan


Mengikut Perkara 4, Senarai Kedua, Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tempatan yang di luar Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing. Sungguhpun kerajaan tempatan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri tetapi pentadbirannya berada di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan menerusi Bahagian Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pentadbiran diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mempunyai pejabat cawangan DBKL di setiap Parlimen. Namun, tugasan tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana skop kawasan yang terlalu luas, justeru mereka dibantu oleh satu jawatankuasa yang dipanggil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang mempunyai 4 – 8 subzon di setiap parlimen.


Secara tradisi, MPP sebelum ini dicadangkan oleh parti-parti politik yang memerintah dan dilantik melalui DBKL. Semua Parlimen di dalam Wilayah Persekutuan mempunyai jumlah pengundi melebihi 100 ribu, kecuali Putrajaya dan Labuan. Agak mustahil untuk Ahli Parlimen menjalankan tugasan dengan efektif dengan nisbah perwakilan yang tidak seimbang.


Pilihan raya tempatan amat sesuai dijalankan di Kuala Lumpur kerana rakyat di bandar mempunyai kecenderungan pentadbiran telus yang bebas rasuah. Oleh kerana Parlimen di Kuala Lumpur mempunyai jumlah penduduk yang ramai, setiap Parlimen boleh dibahagikan kepada 3 kawasan zon.


Kawasan ‘zon’ ini, adalah seperti kawasan DUN yang akan melalui proses pengundian untuk melantik seorang wakil zon. Secara purata, setiap zon akan bertanggung jawab untuk 20 – 50 ribu penduduk.


Setiap perwakilan kawasan (atau Ahli Majlis) akan diberi keistimewaan seperti peruntukkan dan pejabat, serta mempunyai kakitangan sepenuh masa untuk membolehkan mereka merangka semak dan imbang terhadap DBKL masing-masing.


Reformasi kaedah undi secara elektronik


Tiba masanya Malaysia memperkenalkan mekanisme mengundi secara elektronik seperti mana yang telah dijalankan di negara seperti Estonia dan Switzerland. Pengundian secara elektronik yang menggunakan teknologi ‘blockchain’ mampu membawa kejituan yang tinggi dengan kos yang jauh lebih murah daripada kaedah konvensional. Kaedah pengundian ini, boleh dimulakan dengan pilihan raya PBT sebagai satu eksperimen untuk dijadikan kajian kes.


Oleh kerana skop pengundian di kerajaan tempatan jauh lebih kecil daripada Pilihan Raya Umum (negeri dan persekutuan), pilihanraya ini tidaklah perlu diadakan secara besar-besar. Untuk pengetahuan, kos pengendalian Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRU15 mencecah RM1.01 bilion.


Kos pilihan raya tempatan secara elektronik tidak perlu melibatkan wang yang banyak dan masa yang lama memandangkan skop pengundi adalah jauh lebih kecil memandangkan setiap DUN atau Parlimen dipecahkan kepada zon-zon pengundian yang berbeza.


Di Malaysia, KEADILAN pada pemilihan 2018 dan 2022 telah mula menyesuaikan kaedah pengundian menggunakan tablet dan parti sentiasa menambahbaik proses mengundi atas talian.


Keberkesanan pengundian elektronik di kerajaan tempatan, mampu menjadi loncatan kepada e-voting di pilihanraya peringkat PRU dan PRN di masa hadapan.


Pembaharuan dalam kerajaan Perpaduan nasional


Meskipun tidak disenaraikan dalam manifesto PRU, namun ‘institutional reform’ merupakan intipati utama pemerintahan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kemenangan HARAPAN pada PRU baru-baru ini, memberi nafas baru untuk mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan.


Pilihan raya PBT adalah biasa di kalangan negara yang mengamalkan demokrasi seperti Amerika Syarikat, Taiwan dan Hong Kong. Rakyat, dengan penglibatan mereka dalam proses pengundian mampu mendekatkan mereka dalam hal ehwal pengurusan PBT dan mereka lebih mengenali siapa wakil mereka yang boleh membantu.


Penulis pernah menjalankan eksperimen secara rambang dengan bertanya kenalan samada mereka mengenali ahli majlis mereka? Jawapannya tidak. Kebanyakkan rakyat mengadu terus kepada wakil rakyat mereka baik di negeri atau Parlimen untuk masalah remeh temeh.


Saya percaya, sekiranya pembaharuan diteruskan kerajaan hari ini, Malaysia mampu melihat perlaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa terdekat.


______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju

0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page