Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 Cemerlang, Lonjak Nama PMX Pemimpin Bertaraf Dunia
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 4 min read

Oleh: Noraini Nordin
(Sorotan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47)
ULASAN: Sidang Kemuncak ASEAN ke- 47 yang berlangsung di Pusat Kovensyen Kuala Lumpur sudah melabuhkan tirainya hari ini dengan penghormatan yang melimpah dan pujian terhadap kecemerlangan Perdana Menteri Malaysia (PMX) yang juga Pengerusi ASEAN yang disegani.
Pujian dan penghargaan ini diluahkan secara terus terang sama ada dalam sidang media, ucapan dan media sosial pemimpin-pemimpin tersebut.
Pemimpin-pemimpin dunia yang menyertai persidangan mengakui kemampuan serta kepimpinan PMX mempengerusikan ASEAN serta sebagai Perdana Menteri yang berjaya menjulang nama Malaysia ke pentas dunia.
Trump sifatkan PMX tokoh hebat, bersejarah
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyifatkan Malaysia sebagai negara yang hebat, sangat bertenaga selepas menamatkan lawatan dua hari di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Dalam catatan Truth Social, Trump pada Isnin sewaktu berlepas ke Jepun, Trump berkata, AS telah menandatangani perjanjian perdagangan dan nadir bumi penting dengan Malaysia yang juga penganjur persidangan Sidang Kemuncak ASEAN.
Trump juga menyifatkan Anwar sebagai tokoh hebat dan bersejarah dalam usaha tersebut.
Beliau turut menghargai usaha Malaysia sebagai pengantaraan dalam mendamaikan konflik antara Kemboja dengan Thailand.
Presiden Brazil sifatkan Malaysia rakan strategik, kongsi nilai bersama
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva berlepas pulang hari ini selepas mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

Lula da Silva turut menghargai PMX dan yakin dengan kepimpinan Anwar. Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan semalam, Lula menyatakan sokongan padu terhadap hasrat Malaysia untuk menjadi anggota penuh blok BRICS.
Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik yang berkongsi nilai bersama serta berpotensi besar dalam pembangunan ekonomi.
Pada 24 Okt 2024, Malaysia diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang secara rasmi disenaraikan sebagai negara rakan kepada BRICS, blok ekonomi yang mewakili kira-kira satu perlima perdagangan dunia.
BRICS merujuk kepada kumpulan ekonomi sedang pesat membangun yang pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Presiden Lula da Silva berlepas pulang hari ini selepas mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.
PMX pemimpin bertaraf dunia
Perlu diakui Anwar berjaya menyerlahkan karisma selama tiga hari sebagai pemimpin bertaraf dunia.
KPI luar biasa ditunjukkan oleh beliau sebagai Pengerusi ASEAN telah membuatkan negara-negara anggota dan tetamu-tetamu khas merasa selesa serta dihargai.

Dua perkara penting telah menyerlahkan peranan Anwar dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini sehingga membuatkan munculnya penghormatan yang melimpah ruah kepada Malaysia.
Pertama, termeterainya perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja yang berjaya diusahakan oleh Anwar.
Wujudnya perjanjian damai itu bukan saja meletakkan ASEAN sebagai rantau yang lebih dihormati, malah turut mendapat pujian khusus daripada Presiden Amerika Syarikat.
Donald Trump yang menyaksikan perjanjian damai itu memuji peranan penting dimainkan Perdana Menteri dalam membantu merealisasikan usaha damai berkenaan.
Tindakan itu, katanya penting untuk mencegah konflik yang sekian lama berlarutan antara dua negara berjiran daripada terus memburuk.
Perkara kedua yang menjadi perhatian dalam Sidang Kemuncak ASEAN ini ialah kejayaan membawa ramai pemimpin dunia datang ke Malaysia. Dengan komunikasi serta kepintaran diplomasi PMX berjaya menambat hati pemimpin-pemimpin dunia `berkampung’ di ibu negara.
Selain Donald Trump, ketua kerajaan yang hadir ialah:
Presiden Indonesia, Prabowo Subiato,
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong
Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Brunei
Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul
Presiden Filipina, Ferdinant Marcos, Jr
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet,
Presiden Timor-Leste, José Ramos-Horta
Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão
China, Premier Li Qiang
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Illyung
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva
Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa
Perdana Menteri India, Narendra Modi (virtual)
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney
Perdana Menteri Australia , Anthony Albanese
Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon
Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexander Novak
Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU), Antonio Costa
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres
Bank Dunia - Naib Presiden bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik (EAP), Carlos Felipe Jaramillo
Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva
Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino
Karisma Anwar daya penarik pemimpin dunia hadir
Sudah tentu, antara faktor yang menjadi penyumbang ramai pemimpin dunia hadir pada sidang kemuncak ialah hubungan baik yang berjaya dijalin Anwar dengan mereka sejak beliau memimpin Malaysia.

Dengan kehadiran ramai pemimpin dunia itu, selain ASEAN makin dihormati nama Malaysia dan Anwar selaku Perdana Menteri juga semakin mengharum di mata dunia.
Paling menyerlah di sebalik kedatangan pemimpin dunia itu ialah bagaimana gaya dan kemampuan diplomasi Anwar yang cemerlang.
Kelihatan semua gembira dan puas hati dengan layanan Malaysia serta bagaimana Anwar bergaul dan bermesra dengan mereka.
Dunia kini makin mengenali Malaysia dan Anwar selaku ketua negara.
Sudah tentu dengan nama Malaysia makin dihormati itu, pelbagai manfaat daripada segi perdagangan dan pelancongan akan datang menyusul buat rakyat negara di tahun-tahun mendatang selepas ini.





