Nurul Izzah diberi peranan lebih strategik rancang kegemilangan KEADILAN
- Noraini Nordin

- 4 hours ago
- 3 min read

Ulasan Berita: Berikutan Nurul Izzah Anwar (gambar) tidak lagi memegang jawatan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, ada yang dengan sengaja menafsir Puteri Reformasi itu telah `dilucutkan’ peranannya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 16 akan datang.
Ternyata cakap-cakap `sumbang’ itu tidak langsung menggetarkan Nurul Izzah malahan beliau terus kental mempersiapkan seluruh bala tentera KEADILAN bersiap siaga menghadapi PRN dan PRU akan menjelma.
Tekad dan keazaman susok Nurul Izzah ini bukan `alang-alang’. Cubaan demi cubaan untuk meremehkan semangat wanita besi ini tidak mampu menggoyahkan semangat juangnya untuk terus melebarkan pengaruh biru muda ke seluruh negara hingga ke pentas dunia.
Dalam pertemuan eksklusif dengan penulis, Nurul Izzah mengakui bahawa amanah baharu yang dipikul sebagai Pengarah Latihan dan Selenggaraan Sistem menuntut beliau memberi perhatian khas yang konsisten sehingga ke akar umbi.
Hubung kait dengan TERAS
Tugas baharu Nurul Izzah ini juga ada hubung kaitnya penggunaan sistem pengurusan pilihanraya dinamakan “TERAS” yang berteraskan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh gerak kerja jentera parti serta memperkemaskan pengurusan pilihan raya.

Sistem Pilihan Raya TERAS telah dilancarkan pada 2 Mei lalu di Petaling Jaya, Selangor yang turut dihadiri lebih seribu pimpinan peringkat pusat dan cabang dari seluruh negara.
Nurul Izzah berkata, pembangunan sistem “TERAS” adalah usaha menghargai pengorbanan anggota parti yang sekian lama bekerja keras di belakang tabir untuk memudahkan tugas mereka.
"Sebagai persiapan menghadapi pilihanraya setiap anggota parti mesti didedahkan dengan TERAS .
"Saya bersama pasukan akan memberi tumpuan terhadap usaha dan masa untuk kita memberi kembali kepada anggota dengan memperkenalkan sistem berteknologi canggih berteraskan AI milik KEADILAN," jelas Timbalan Presiden KEADILAN itu.
Pertemuan bersama Nurul Izzah diadakan di sebuah kafe di Pinggiran Putrajaya baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, sistem berkenaan dibangunkan dengan empat elemen utama, termasuk pusat arahan dikenali sebagai “Nexus” yang perlu dipantau rapi oleh pengurus kempen.
Selain itu, elemen “Pulse” diperkenalkan sebagai nadi rakyat, yang memerlukan jentera turun padang untuk mengumpul dan memasukkan data bagi membuat analisis isu semasa.
"Pulse memerlukan jentera turun padang, ‘key in’ data, dan di peringkat ‘back room’ perlu menganggarkan isu yang sedang dibawa," jelas beliau lagi.
Menurut beliau, pendekatan melalui sistem baru “TERAS” ini penting bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.
Merangkul kekuatan meraih kemenangan
Selain itu memastikan kejayaan TERAS, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh Nurul Izzah dalam memastikan KEADILAN dapat merangkul kekuatan dan meraih kemenangan bergaya dalam pilihanraya akan datang.
Dalam maksud yang lebih khusus, Nurul Izzah bukanlah dilucutkan peranannya dalam parti bagi menghadapi PRU akan datang, tetapi diberi peranan baharu yang lebih strategik dalam penyusunan baharu jentera parti.
Melalui penyusunan itu, ia lebih menampakkan KEADILAN sedang menyusun kerja secara lebih komprehensif bagi masa depan parti dengan meletakkan Nurul Izzah diberi satu tanggungjawab baharu yang amat mencabar sesuai dengan kemampuan serta pengalaman beliau.
Dakwaan yang mengatakan beliau dilucutkan peranan penting dalam menghadapi PRU16 berikutan tidak lagi memegang jawatan Pengarah Pilihan Raya adalah suatu tuduhan yang berniat jahat dan tidak bersandarkan fakta yang sebenar.
Tanggungjawab baharu lebih mencabar
Fakta yang sebenar ialah tanggungjawab baharu yang dipikul oleh Nurul Izzah berkaitan latihan jentera dan selenggaraan sistem amat mustahak serta mencabar, bukan saja ketika pilihan raya, bahkan juga demi kelangsungan masa depan parti.
Sementara itu, dalam penyusunan yang dilakukan itu, KEADILAN juga mengumumkan pelantikan Datuk Azman Abidin sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya atau War Room dengan dibantu oleh Datuk Ruji Ubi.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh menjelaskan, Nurul Izzah melalui jawatan baharunya itu akan memainkan peranan strategik dengan memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan kapasiti jentera dan gerak kerja parti ke arah yang lebih kukuh dan tersusun.
"Tumpuan ini merupakan sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi, supaya kekuatan KEADILAN terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat," kata Fuziah lagi.
Juga penting, melalui penyusunan yang dilakukan Biro Politik itu, semua pimpinan ada peranan masing-masing yang tidak kurang mustahaknya demi memastikan KEADILAN terus mengemudi pentadbiran negara selepas ini.




Comments