top of page

Selangor Konsisten Kawal Penjualan Vape

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Kenyataan dangkal dikeluarkan oleh Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohd Faizzuddin Mohd Zai yang mendakwa bahawa Kerajaan Madani Selangor seharusnya menguatkuasakan pengharaman vape bagi memperjuangkan isu kesihatan awam. Beliau menegur Kerajaan Madani Selangor untuk mencontohi Kerajaan Negeri Kelantan selaku negeri pertama menguatkuasakan larangan penjualan vape sejak 2015.


Kenyataan oleh Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin yang mencadangkan agar hasil cukai jualan vape disalurkan kepada Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dianggap oleh Faizzuddin sebagai bercanggah dengan pendirian Menteri Besar Selangor.


Faizzuddin beranggapan bahawa kenyataan Jamaliah tersebut mengelirukan rakyat dan memberi gambaran bahawa kerajaan negeri tidak tegas dalam menjaga kesihatan awam serta seolah-olah tiada kesefahaman dalam melaksanakan dasar.


Bidang kuasa negeri dan persekutuan


Menjawab dakwaan dangkal yang dilontarkan oleh Faizzuddin ini perlu dimulakan dengan memahami bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Penulis - Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
Penulis - Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

Kuasa untuk mengharamkan vape secara menyeluruh di seluruh Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, justeru tuduhan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan sebagai pihak paling awal di Malaysia menguatkuasakan larangan penjualan vape adalah tidak benar.


Kuasa yang diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri oleh Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengawal penjualan vape melalui menghalang pemberian lesen perniagaan dan iklan/ promosi melibatkan produk vape. Dasar kawalan ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor semenjak tahun 2016, sehingga kini tiada sebarang lesen baru melibatkan penjualan produk vape telah dikeluarkan oleh PBT di Negeri Selangor.


Kerajaan Madani Selangor juga secara tegas telah mengarahkan semua PBT untuk menghentikan dan menyita serta-merta sebarang bentuk iklan berkaitan produk vape (sama ada secara fizikal atau elektronik) selaras dengan penggubalan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852).


Faizzuddin juga keliru mengenai sumber hasil cukai jualan vape yang dimohon untuk disalurkan kepada Kerajaan Madani Selangor. Hasil cukai berkenaan adalah milik Kerajaan Persekutuan yang bakal dikutip melalui Belanjawan 2026, menjelang tahun hadapan cukai terhadap produk vape dicadangkan untuk ditingkatkan 10 kali ganda iaitu daripada RM 0.40 kepada RM 4.00 per mililiter (ml).


Salur hasil cukai vape, kempen kesihatan


Peningkatan hasil cukai ini telah dicadangkan oleh Jamaliah agar disalurkan kepada kerajaan negeri dan PBT sebahagiannya untuk menjalankan penguatkuasaan, program kesedaran serta rawatan pemulihan ketagihan nikotin. Kerajaan Madani Selangor dalam isu ini tidak pernah memungut sebarang cukai vape diperingkat negeri, apa yang dimohon hanyalah pembahagian hasil cukai vape yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan.


Justeru tiada sebarang percanggahan dasar yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Madani Selangor, dasar untuk mengawal penjualan vape masih berkuatkuasa di Negeri Selangor sehingga kini.


Faizzuddin seharusnya lebih berhati-hati dalam menyerang pentadbiran Kerajaan Madani Selangor terkait isu pengharaman vape, kenyataan yang dilontarkan seharusnya merujuk Perlembagaan Persekutuan agar tidak dilihat dangkal. Kita sebagai rakyat negeri Selangor mengimpikan agar satu hari nanti produk tembakau (termasuk vape) tidak lagi diniagakan di negeri tercinta ini.


Namun langkah ke arah impian tersebut perlu dilakukan secara berhati-hati kerana produk tembakau telah wujud dalam masyarakat Malaysia semenjak merdeka lagi. Mengubah amalan pengambilan produk tembakau yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat Malaysia memerlukan langkah yang bijaksana dan tidak gopoh.


Kenyataan dangkal yang dikeluarkan oleh Faizzuddin tidak langsung membantu usaha Kerajaan Madani Selangor memperbetulkan budaya pengambilan produk tembakau dalam kalangan rakyat Negeri Selangor. Adakalanya diam itu lebih baik dari dangkal bersuara kerana ia menyusahkan dan mengelirukan.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor Darul Ehsan

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page