'Sesiapa sahaja boleh bersama PH asalkan terima prinsip perjuangan' - Anwar



Pakatan Harapan (PH) akan mengambil sikap terbuka yang merangkumi pelbagai paksi dalam soal kerjasama berbilang parti yang cuba dirintis bagi menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gabungan itu bertanggungjawab untuk menguatkan pembangkang sama ada berlaku proses mengambilalihan kerajaan secara bilangan majoriti mahu pun menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 secara mengejut.


"Sekarang kita dalam PH, ketiga-tiga parti komited. Sekretariat bermesyuarat minggu lalu, kita mesyuarat minggu depan. Jentera pilihan raya, jentera penerangan itu berterusan dan ada juga cadangan mengudang pembangkang lain. Hal itu tidak ada masalah tetapi kita akan jelaskan apa prinsip yang kita perjuangkan dan saya percaya sebahagian besar dari mereka (parti lain) terima.


"Tanggungjawab kita untuk perkuatkan pembangkang dan juga mengajak rakan-rakan yang sebahagiannya dalam Perikatan Nasional (PN) berdasarkan prinsip (perjuangan), soal setuju atau tidak itu hak mereka.


"Kita tidak boleh memaksa tetapi kita mengambil sikap terbuka, kita mahu kekuatan pembangkang sekarang atau kerajaan akan datang yang lebih mantap," katanya dalam sidang media seusai program “Sepetang 2021 Bersama DS Anwar Ibrahim” anjuran Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, petang tadi.


Menjawab soalan wartawan mengenai beberapa kenyataan yang dilemparkan oleh pemimpin Pejuang termasuk Pengerusinya Tun Mahathir Mohamad yang mengeruhkan hubungan parti itu dan PH, Datuk Seri Anwar menjawab, kerjasama yang akan dibentuk adalah dengan parti bukannya individu pemimpin.


Katanya, sesiapa yang menerima dasar perjuangan PH boleh bersama gabungan berkenaan.


"Banyak kenyataan itu dari pemimpin Pejuang, Tun Mahathir kita kenal lama, tak apa lah. Biar sajalah. Tetapi yang penting bagi KEADILAN dan PH kita ambil sikap terbuka, sesiapa sahaja atau mana-mana parti yang terima dasar tatakelola baik, tolak korupsi, kronisme, salah guna kuasa untuk memperkaya kelompok dan keluarga, kalau terima ini semua kita rangkul


"Saya setuju bukan dengan orang atau dengan parti tetapi prinsipnya. Bukan prinsip saya ini, ini prinsip yang diterima pakai menjadi landasan Pakatan Rakyat sebelumnya dan PH kini," katanya.


Menurut Presiden KEADILAN itu lagi, ada baiknya PH merangkul kekuatan yang lebih besar tetapi berdasarkan prinsip perjuangan. Katanya, politik negara ini tidak boleh lagi terbeban dengan pihak yang mengatakan Malaysia untuk Melayu, satu lagi tegas perangi rasuah, satu pihak lain berkata perlu bertolak ansur. Semuanya perlu disatukan dengan prinsip perjuangan yang tepat dan tegas.


Selain itu, gabungan pembangkang yang kuat, kata Anwar, amat penting apabila kerajaan PN dilihat semakin tidak stabil apabila sebilangan pemimin Umno hilang kepercayaan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan mengancam untuk meninggalkan kerajaan.


"(Untuk itu) kita bersedia untuk bekerjasama dengan semua kekuatan berasaskan prinsip dan nilai. Keadaan agak tidak menentu sekarang bila pemimpin Umno, termasuk Ahli Parlimen berkata mahu keluar dari PN atau tidak mahu lagi berkerja dengan Bersatu. Kerajaan bukan lagi rapuh (jika terjadi demikian) tetapi tumbang. Jadi kita mesti masukkan hal ini dalam pertimbangan," katanya lagi.


Bagaimanapun, menurut Anwar lagi, PH tidak mengabaikan kemungkinan berlakunya PRU mengejut dan jenyera pilihan raya tetap dipersiapkan pada masa rundingan dengan pelbagai parti berlangsung.


"Kita buat kedua-duanya. Jentera pilihan raya dari KEADILAN, DAP dan Amanah telah mesyuarat dan mengatur strategi dan masa yang sama kita meneruskan usaha," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio