Rakyat diingatkan tiada campur tangan eksekutif terhadap serbuan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa individu ternama, sebaliknya hal itu dilakukan setelah siasatan dibuat oleh agensi anti-rasuah tersebut.
Siasatan yang dijalankan juga bukan bermotifkan politik atau balas dendam, sebaliknya ia dilakukan berdasarkan kecurigaan kekayaan luar biasa yang diperolehi oleh pemimpin kerajaan terdahulu.
Hal itu ditegaskan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng yang berkata Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kuasa mengarahkan SPRM menjalankan siasatan terhadap individu berprofil tinggi termasuklah beberapa bekas Perdana Menteri.
"Naratif pembangkang kononnya kerajaan mengarahkan SPRM menyiasat pemimpin politik dan ahli perniagaan disifatkan tidak bertanggungjawab, kerana agensi itu diberi kebebasan seluas-luasnya menyiasat sesiapa sahaja termasuk menteri dan pegawai Kerajaan MADANI sekarang.
"Sebaliknya tuduhan Perdana Menteri kononnya mengarahkan SPRM menjalankan siasatan menunjukkan mereka amat terdesak menyelamatkan diri masing-masing sehingga timbul cerita Langkah Dubai yang mereka cuba nafikan," katanya.
Andre Lai mengulas serbuan SPRM terhadap kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri kelmarin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 bilion.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju berkata, ketegasan Perdana Menteri membasmi rasuah dalam kempen anti-korupsi terbaharu akan memulihkan imej negara pada jangka masa panjang.
"Skandal kewangan seperti 1MDB dan Konsortium Perkapalan sebagai contoh, tidak wajar diulangi dan menjejaskan nama baik negara.
"Malah kesediaan PM membenarkan SPRM menyiasat anggota kabinet dan pegawai kerajaan membuktikan betapa seriusnya kerajaan memerangi rasuah.
"Saya juga (dalam hal ini) mengingatkan parti pembangkang agar tidak cuba mempolitikkan isu tersebut demi kepentingan politik sempit mereka yang cuba menuduh kerajaan zalim dan tidak berperi kemanusiaan.
"Indeks Persepsi Rasuah yang jatuh pada era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menginsafkan mereka, bahkan seolah cuba ditutup dengan kelemahan tatakelola yang membolehkan SPRM menyiasat dan membawa mereka ke muka pengadilan," tambahnya.
Dalam perang melawan korupsi terbaharu, SPRM menyerbu kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri baru baru ini dalam siasatan dakwaan rasuah mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan malaysia bernilai RM4.5 bilion.
SPRM juga menyerbu empat syarikat, termasuk salah satu daripadanya adalah syarikat pembekal kenderaan kerajaan bagi mendapatkan dokumen-dokumen yang diperlukan.
Tiga lagi syarikat yang diserbu adalah entiti yang melaksanakan pelaburan membabitkan kewangan milik Tan Sri itu.
Comments